BERITA SEMASA

Isu Kampung Sungai Baru: Johari gesa kediaman penduduk disiapkan mengikut tempoh

KUALA LUMPUR – Isu kelewatan projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru terus mendapat perhatian apabila Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menggesa pemaju memastikan kediaman baharu penduduk disiapkan mengikut tempoh yang telah dijanjikan, demi menjamin kebajikan pemilik tanah terlibat.

Johari berkata, terdapat penduduk yang telah berpindah dari kediaman asal namun masih belum menerima pampasan sewajarnya, meskipun rumah baharu dijanjikan sebagai ganti kepada kediaman lama mereka.

Menurutnya, kelewatan pembinaan telah menimbulkan pelbagai kesulitan kepada penduduk, lebih-lebih lagi apabila tempoh menunggu yang dijanjikan sebelum ini telah jauh melangkaui jangkaan asal.

Malah katanya, terdapat penduduk yang mendakwa mereka menandatangani perjanjian dengan sebuah syarikat, namun syarikat berkenaan kemudiannya menjual sebahagian kepentingan projek kepada pemaju lain.

“Pada waktu itu, ramai mengambil mudah isu ini. Penduduk menerima bayaran pendahuluan sekitar RM10,000 dan berpindah dengan harapan dapat kembali dalam tempoh empat setengah tahun, namun kini sudah hampir lapan tahun projek masih belum disiapkan.

“Ini bukan soal membuka perniagaan, sebaliknya melibatkan rumah kediaman dan tempat tinggal penduduk yang sah, bukan setinggan,” katanya memetik laporan Buletin TV3.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program Citrawarna Kampong Bharu 2025 di ibu negara, sempena sambutan ulang tahun ke-125 Kampung Baru, yang dianjurkan oleh Kelab Belia Kampung Baru bersama Majlis Belia Kawasan Titiwangsa.

Dalam pada itu, Johari memaklumkan beliau telah meminta Datuk Bandar Kuala Lumpur supaya memberi keutamaan kepada pembinaan dua blok kediaman terlebih dahulu bagi membolehkan pemilik tanah tradisi kembali menetap di kawasan asal mereka.

Katanya, pemaju perlu memberi tumpuan kepada penyempurnaan dua blok berkenaan sebelum melaksanakan pembangunan lain.

“Pemaju ini telah memulakan kerja pembinaan dan sebahagian pegangan telah dijual kepada sebuah syarikat tersenarai.

“Jadi kita mahu melihat keupayaan sebenar mereka untuk menyiapkan projek ini, bukan sibuk membangunkan projek lain.

“Selesaikan dua blok ini terlebih dahulu supaya penduduk dapat kembali masuk. Jika semua projek dibuat serentak, bila ia akan siap?” katanya.

Projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru secara rasmi dimulakan pada 30 November lalu dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh empat tahun.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button