Internet selamat bermula dengan keluarga, kesedaran anak-anak
KESEDARAN mengenai penggunaan internet secara selamat perlu dipupuk sejak usia muda bagi memastikan kemudahan teknologi dimanfaatkan untuk pembelajaran, komunikasi dan aktiviti positif, bukannya menjadi ruang kepada buli siber atau kandungan tidak berfaedah.
Mesej itu antara yang diketengahkan menerusi program Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat peringkat Daerah Petaling Jaya anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang menghimpunkan masyarakat setempat dalam suasana santai, meriah dan mesra keluarga di Dewan Serbaguna MBPJ Kampung Lindungan, di sini hari ini.

Program itu dirasmikan oleh EXCO Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Dr Mohammad Fahmi Ngah.
Ia turut dihadiri Ketua Polis Balai Sungai Way, Inspektor Lau Chee Ung serta Pengarah Kanan Pejabat Wilayah Tengah MCMC, Mohamad Rizal Ahmad.
Selain menyampaikan maklumat berkaitan keselamatan dalam talian, karnival itu turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik termasuk pertandingan mewarna, peragaan pakaian, pertandingan permainan secara berpasukan, jualan makanan serta aktiviti keluarga.

Pendekatan santai dan interaktif itu dilihat membantu mesej keselamatan internet disampaikan dengan lebih dekat kepada masyarakat, khususnya kanak-kanak dan remaja.
Bagi suri rumah, Nur Izzah Anis Ismail, 35, program berkenaan sangat bermanfaat kerana memberi peluang kepada ibu bapa mendapatkan maklumat yang boleh disampaikan kepada anak-anak mengenai penggunaan internet secara selamat.
Katanya, dunia internet menyediakan pelbagai platform seperti TikTok dan Instagram, namun tidak semua kandungan yang terdapat di dalamnya memberi manfaat kepada golongan muda.

“Program ini sangat bermanfaat, terutama untuk remaja. Banyak perkara boleh dibuka di internet seperti TikTok dan Instagram, tetapi ada sesetengah kandungan yang tidak berfaedah.
“Maklumat mengenai keselamatan dalam talian dapat diberitahu kepada anak-anak dengan lebih jelas. Usaha kempen internet selamat ini sangat bagus, termasuk dalam memberi kesedaran mengenai buli siber,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Menurutnya, pengisian program yang turut melibatkan aktiviti keluarga menjadikan kempen berkenaan lebih menarik dan tidak membosankan untuk disertai anak-anak.
“Kami dapat bawa anak-anak menyertai aktiviti keluarga seperti peragaan pakaian dan pertandingan mewarna. Terima kasih MCMC kerana menganjurkan program yang bermanfaat buat kami,” katanya.
Sementara itu, bagi Rayyan Asyraaf Hairul Izwan, 16, penyertaan dalam pertandingan Mobile Legends menjadi pengalaman menarik apabila pasukannya dinobatkan sebagai juara.

“Saya sertai pertandingan Mobile Legends untuk dalam program ini dan tadi pasukan kami juara. Saya sangat gembira.
“Kempen ini juga bagus. Biasanya saya menggunakan internet untuk belajar dan membuat ulang kaji, selain kadang-kadang bermain permainan. Internet ini bagus, cuma kita kena guna secara baik dan bukan untuk perkara yang jahat,” katanya.
Pelajar SMK Seri Permata, Petaling Jaya itu berkata, pendekatan menggabungkan aktiviti permainan dengan kempen kesedaran menjadikan mesej penggunaan internet secara bertanggungjawab lebih mudah diterima golongan remaja.
Bagi pelajar Tahun Empat Sekolah Kebangsaan Bandar Sunway, Saripah Damia Khairuddin, 10, pula, karnival berkenaan memberikan pengalaman menyeronokkan kerana menyediakan pelbagai aktiviti yang sesuai untuk kanak-kanak.

“Saya rasa seronok dapat menyertai program karnival komuniti sempena kempen internet selamat ini kerana ada banyak pertandingan seperti peragaan pakaian dan mewarna. Ada juga banyak jualan seperti sushi dan maskot,” katanya.
Menurutnya, internet turut digunakan untuk tujuan pembelajaran termasuk mengikuti kumpulan Telegram sekolah.
“Saya guna internet dan media sosial untuk belajar serta masuk kumpulan Telegram sekolah. Terima kasih MCMC yang menganjurkan program ini,” katanya.

Karnival berkenaan membuktikan usaha meningkatkan literasi digital tidak semestinya disampaikan dalam bentuk ceramah semata-mata, sebaliknya boleh digabungkan dengan aktiviti komuniti yang menyeronokkan dan melibatkan seluruh keluarga.
Kempen Internet Selamat oleh MCMC merupakan satu inisiatif nasional untuk mendidik orang ramai tentang keselamatan siber.
Ia memberi fokus terhadap isu seperti buli siber, penipuan dalam talian, judi digital dan perlindungan data peribadi bagi membina budaya penggunaan internet yang berhemah.

Apa yang pasti, dalam dunia digital yang semakin terbuka, pendidikan mengenai keselamatan siber dan penggunaan internet secara berhemah bukan lagi tanggungjawab sekolah atau kerajaan semata-mata, sebaliknya perlu bermula daripada rumah dengan ibu bapa menjadi contoh dan pembimbing kepada anak-anak.
Dengan pendekatan sebegini, internet bukan sekadar ruang hiburan, tetapi dapat dimanfaatkan sebagai medium pembelajaran, mendapatkan ilmu dan membina kemahiran yang memberi manfaat kepada generasi masa depan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








