Ibu bapa dikejutkan dengan game ‘Move People’, netizen gesa kawalan had umur diperketat
KUALA LUMPUR – Satu hantaran di platform Threads menarik perhatian ramai susulan pendedahan seorang ibu mengenai permainan video di telefon bimbit bertajuk “Move People” yang mendedahkan anak-anak dengan perbuatan dan tingkah laku tidak bermoral.
Dalam perkongsian oleh Anna Talita Nafrizon itu, dia berkongsikan bagaimana permainan yang diklasifikasikan untuk pengguna berusia 12 tahun ke atas itu boleh dimuat turun di platform iOS dan Android.
Katanya, permainan bertajuk ‘Move People’ itu amat tidak sesuai untuk kanak-kanak kerana menggalakkan perlakuan dan hubungan berbentuk seksual antara lelaki dan perempuan.
Melalui petikan video yang dimuat naik, permainan itu dimainkan dengan menggerakkan setiap sendi
anggota badan supaya ‘bertemu’ secara intim dengan pasangan berlainan jantina untuk mendapatkan markah.
Terkejut dengan video yang dimainkan anaknya, Anna Talita terus membawa anaknya ke balai polis dan meminta anggota bertugas menggertak dan memberi amaran supaya tidak lagi bermain game tersebut.
“So untuk parents yang ada ada, tolong la pantau anak korang, jangan biarkan anak-anak download. Jaga anak sekarang sangat mencabar. Semoga anak kita dilindungi Allah,” katanya.

Pendedahan itu mengundang persoalan serius mengenai keberkesanan sistem penarafan umur sedia ada serta tahap kawalan kandungan yang dilaksanakan oleh penyedia platform digital, khususnya apabila permainan berkenaan mudah diakses oleh kanak-kanak.
Isu berkenaan turut dilihat berkait rapat dengan perbincangan lebih luas mengenai keselamatan kanak-kanak dalam talian, tanggungjawab platform digital serta keperluan untuk penguatkuasaan sekatan umur yang lebih berkesan bagi melindungi pengguna bawah umur.
Kebanyakan netizen pula berpendapat, pendedahan awal kepada kandungan yang menggalakkan tingkah laku tidak bermoral berpotensi memberi kesan negatif terhadap perkembangan emosi, pemikiran dan nilai murni kanak-kanak.
Ia bukan sahaja boleh menormalisasikan perlakuan tidak sesuai, malah berisiko mempengaruhi sikap dan tingkah laku mereka dalam kehidupan sebenar.
Pada masa sama, isu itu turut menguatkan gesaan supaya pihak berkuasa, pembangun permainan dan penyedia platform digital memikul tanggungjawab lebih besar dalam memastikan kandungan yang ditawarkan selamat, beretika dan benar-benar sesuai dengan peringkat umur pengguna.
Langkah kawalan yang lebih ketat serta pendidikan literasi digital kepada ibu bapa dan kanak-kanak dilihat penting bagi membendung pengaruh permainan video yang boleh menghakis nilai moral dan kesejahteraan sosial generasi muda.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








