Hanya ZRA terpilih sertai misi GSF 2.0
KUALA LUMPUR – Hanya seorang peserta Global Sumud Flotilla (GSF) 1.0 iaitu bekas wartawan, Zainal Rashid Ahmad (ZRA) dipilih semula menyertai misi kemanusiaan GSF 2.0.
Chef de Mission Sumud Nusantara, Nadir Al Nuri berkata, pemilihan semula ZRA dibuat bersandarkan tanggungjawab khusus yang diamanahkan kepadanya dalam misi berkenaan.
Menurutnya, ZRA bersama seorang lagi pempengaruh, Ahmad Faezal akan memainkan peranan penting dalam merangka polisi baharu di peringkat dalam dan luar negara sebaik pulang daripada misi tersebut.
“Hanya seorang sahaja yang kita pilih semula sebagai peserta iaitu ZRA kerana beliau mempunyai tugas khusus termasuk bersama Ahmad Faezal untuk membentuk polisi-polisi baharu,” katanya menerusi hantaran video di media sosial.
Dalam pada itu, Nadir memaklumkan penglibatan rakyat Malaysia dalam misi kali ini mencecah hampir 40 orang.
Katanya, peserta terdahulu atau Sumudee tidak lagi menyertai misi sebagai peserta biasa, sebaliknya kembali dengan peranan lebih besar seperti kru, penganjur termasuk ketua kapal serta petugas perubatan.
“Tiada Sumudee 1.0 yang hadir sebagai peserta biasa, sebaliknya mereka kembali dengan tanggungjawab lebih besar dalam membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Tambah beliau, kesemua peserta telah melalui latihan intensif meliputi aspek teknikal serta advokasi berkaitan sejarah dan perkembangan isu Palestin.
“Mereka juga dilatih dari segi komunikasi agar mampu menjadi jurucakap yang berkesan dalam menyampaikan suara Palestin kepada masyarakat dunia,” ujarnya.
Misi GSF 2.0 dijangka menghimpunkan kira-kira 1,000 aktivis dari hampir 100 negara dengan matlamat memecahkan kepungan di Gaza serta meningkatkan kesedaran global terhadap penderitaan rakyat Palestin.
Sehubungan itu, Nadir menyeru rakyat Malaysia agar terus mendoakan keselamatan para peserta selain memberikan sokongan padu terhadap usaha kemanusiaan tersebut.
“Pastikan kita membawa nama Malaysia dengan penuh tanggungjawab serta menjunjung nilai Islam dalam setiap gerak langkah misi ini, insya-Allah,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terus menyokong Global Sumud Flotilla dan Sumud Nusantara.
Terdahulu, media sebelum ini melaporkan peserta GSF 1.0 termasuk Ardell Aryana, PU Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan, Heliza dan Hazwani Helmi berangkat ke Barcelona, Sepanyol sebagai peserta GSF 2.0.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















