LUAR NEGARA

Greta Thunberg antara aktivis Global Sumud Flotilla dijangka dibebaskan hari ini

ATHENS – Aktivis alam sekitar terkenal Sweden, Greta Thunberg bersama lebih 70 sukarelawan antarabangsa dijangka dibebaskan hari ini selepas ditahan tentera Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.

Menurut kenyataan kerajaan masing-masing semalam, majoriti aktivis terbabit akan diterbangkan dari Israel ke Greece sebelum pulang ke negara asal.

greta thunberg
Greta (tengah) bersama beberapa aktivis yang menyertai misi kemanusiaan GSF ke Gaza. 

Antara mereka termasuk 28 warga Perancis, 27 warga Greece, 15 warga Itali dan sembilan warga Sweden.

Sementara itu, 21 warga Sepanyol dilaporkan sudah tiba di negara mereka semalam namun 28 lagi masih ditahan oleh pihak berkuasa Israel.

Semua aktivis berkenaan menaiki 45 kapal GSF yang membawa bantuan kemanusiaan dan disertai ahli politik dari pelbagai negara dalam usaha melepasi sekatan Israel untuk menghantar bekalan ke Gaza, wilayah yang kini berdepan krisis kebuluran seperti dilaporkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Israel dilapor mula memintas flotilla berkenaan di perairan antarabangsa pada Rabu lalu, sebelum lebih 400 aktivis ditahan.

Kementerian Luar Itali dan Greece mengesahkan bahawa kumpulan warga negara mereka akan diterbangkan dari Tel Aviv ke Athens hari ini manakala Menteri Luar Itali, Antonio Tajani berkata, 15 rakyatnya akan dibantu untuk transit pulang ke tanah air.

Kementerian Luar Perancis pula memaklumkan, 28 rakyat mereka turut akan diterbangkan ke Greece, sebahagian daripada kira-kira 30 warga Perancis yang ditahan.

Media Sweden melaporkan sembilan rakyatnya juga dijangka tiba di Athens meskipun pihak berkuasa belum mengesahkan destinasi itu.

Sebelum ini, kumpulan pertama terdiri daripada 26 warga Itali telah pulang ke negara itu pada Sabtu, namun baki 15 lagi masih menunggu proses pengusiran kehakiman selepas enggan menandatangani borang pelepasan sukarela.

Dalam pada itu, beberapa warga Itali mendakwa mereka menerima layanan tidak berperikemanusiaan sepanjang dalam tahanan.

Wartawan Fanpage, Saverio Tommasi berkata, dia dipukul di bahagian belakang dan kepala oleh pihak keselamatan Israel.

“Kami dilayan seperti monyet tua dalam sarkas paling teruk sejak era 1920-an,” katanya kepada agensi berita Ansa.

Menteri Luar Sweden, Maria Malmer Stenergard mengesahkan pegawai kedutaan mereka di Tel Aviv dibenarkan melawat sembilan rakyat negara itu dan pihak Israel memaklumkan bahawa mereka akan dibenarkan meninggalkan negara itu hari ini.

Sementara itu, seorang warga Sepanyol, Rafael Borrego, yang selamat pulang ke negaranya semalam mendakwa tahanan mengalami penderaan fizikal dan mental termasuk dipukul serta dipaksa berbaring di lantai.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button