GSF 2.0: Aktivis Malaysia akan mulakan pelayaran ke Gaza dalam masa terdekat
SEPANG – Kesemua 10 aktivis Malaysia dalam Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 yang ditahan rejim Zionis sebelum ini akan memulakan pelayaran kedua ke Gaza, pada bila-bila masa.
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, mereka yang kini berada di Turkiyye akan bergabung dengan aktivis antarabangsa dan berlepas dari negara itu.
“Mereka (10 aktivis) sudah tiba di Istanbul pada 1 Mei lalu dan bukan sampai di Malaysia kerana perjuangan terus dilangsungkan.
“Setakat maklumat daripada Chef de Mission Sumud Nusantara, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, mereka (dalam keadaan) baik, melalui satu fasa diculik secara haram di tengah malam,” katanya dalam satu sidang media khas mengenai perkembangan terkini GSF 2.0, di sini hari ini.
Dalam sidang media sama, Sani Araby turut memaklumkan pihaknya melancarkan gelombang kebangkitan menerusi kempen #BreakTheSilent dan #BreakTheSiege dalam tempoh tujuh hari bermula hari ini sebagai usaha memperkukuh tekanan antarabangsa ke arah pembebasan Gaza.
“Setakat ini kita sudah menerima sokongan daripada banyak kepimpinan dunia termasuk dari OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) dan PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu).
“Sokongan itu mencerminkan indikator awal perjuangan ini perlu digandakan dan diteruskan.
“Sehubungan itu rakyat Malaysia diseru untuk terus bersuara di pelbagai platform termasuk media sosial bagi menyokong pembebasan Gaza di samping melaksanakan solat hajat serta qunut Nazilah,” katanya lagi.
Laporan media sebelum ini menyebut, 10 rakyat Malaysia antara 186 peserta yang diculik tentera Israel di perairan antarabangsa berdekatan Kepulauan Greece sudah dilepaskan di Pelabuhan Lerapetra di Kepulauan Crete, Greece.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















