Gerakan Reset akan jemput PAS, BERJASA, PEJUANG, PUTRA bentuk kolaborasi – Rahim
KUALA LUMPUR – Gerakan Reset yang diketuai oleh Datuk Seri Hamzah Zainudin akan menjemput beberapa parti Melayu lain untuk bersama-sama membentuk gabungan politik bagi menghadapi pilihan raya.
Bekas Ketua Badan Pimpinan BERSATU Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik berkata, gerakan politik itu akan menjemput BERJASA, PEJUANG, PUTRA dan PAS untuk bekerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan pilihan raya umum (PRU) akan datang.
“Koloborasi yang dinanti-nanti rakyat patriotik. Setelah team Reset berjaya bergerak di atas landasan sebuah parti politik yang mantap, matang dan kuat, insya-Allah kita akan menjemput BERJASA, PEJUANG, PUTRA agar bersama dengan kita dan PAS, berangkai di dalam satu rangkaian persahabatan dalam perjuangan ke arah menguasai Putrajaya dan di Melaka,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya hari ini.
Menurut Rahim lagi, kerjasama itu akan menjadi satu realiti politik yang hebat dan mendapat tempat di hati rakyat.
Terdahulu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada sidang media memberi amaran kepada BERSATU bahawa kesabaran ‘ada batas’ selepas PAS ‘mengkaji satu persatu tindakan BERSATU’ dengan mengambil contoh situasi politik di Negeri Sembilan dan Perlis serta pendirian berkenaan usaha membawa masuk parti tertentu ke dalam PN.
Abdul Hadi dilaporkan berkata, PAS akan menilai semua tindakan dan kerjasama dengan BERSATU kerana pilihan raya semakin hampir serta sebarang keputusan perlu mengambil kira untung rugi politik.
Antara perkara dibangkitkan Abdul Hadi adalah penarikan sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BERSATU di Negeri Sembilan untuk bersama UMNO bagi membentuk kerajaan negeri, perkembangan di Perlis yang menyaksikan tampuk pemerintahan beralih ke BERSATU dan campur tangan pelantikan exco Kedah dan timbalan speaker di Kelantan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








