AGAMABERITA SEMASA

Genap sebulan bergelar Timbalan Menteri, Marhamah kongsi refleksi jiwa berpaksi Surah Adh-Dhuha

PUTRAJAYA – Genap sebulan memegang amanah sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli menyifatkan tempoh tersebut sebagai perjalanan yang panjang dan mencabar, bukan sahaja dari sudut tugasan malah melibatkan ujian emosi, jiwa dan ketahanan diri sebagai seorang pemimpin.

Menerusi satu hantaran di media sosial peribadinya hari ini, Marhamah mengakui perubahan mendadak dalam rutin hidup, tanggungjawab dan aktiviti harian berlaku dalam masa yang sangat singkat, sehingga ada keputusan perlu dibuat tanpa sempat menarik nafas panjang, selain pengorbanan yang terpaksa ditanggung dalam diam.

“Dalam sebulan ini, saya belajar bahawa tidak semua keletihan datang daripada fizikal. Ada letih yang duduk di dada, ada penat yang tidak nampak pada wajah tetapi terasa berat di hati,” tulis beliau.

Menurut Marhamah, antara cabaran paling mencabar ialah perasaan sunyi meskipun berada di tengah-tengah orang ramai, dinilai tanpa dikenali dan disangka tanpa difahami iaitu satu pengalaman yang diyakininya pernah dilalui oleh ramai insan dalam pelbagai peranan kehidupan.

Beliau turut berkongsi detik peribadi ketika berada di ambang kelelahan emosi, apabila seorang hamba Allah mengingatkannya tentang fasa kesunyian yang pernah dilalui Rasulullah SAW, ketika wahyu terhenti dan Baginda berdepan cemuhan manusia.

Marhamah Rosli
Marhamah mengangkat sumpah sebagai Senator bagi pelantikan sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada 16 Disember tahun lalu.

Peristiwa itu, menurut Marhamah, mengingatkannya kepada Surah Adh-Dhuha yang diturunkan Allah sebagai penenang hati Rasulullah SAW dengan firman-Nya bahawa Baginda tidak pernah ditinggalkan dan tidak dibenci oleh Tuhan.

“Allah tidak menyuruh Rasulullah membela diri, tidak menyuruh Baginda menjawab cemuhan manusia. Allah hanya menenangkan hati Baginda. Seolah-olah Allah berkata: ‘Aku tahu. Aku nampak. Dan Aku ada’,” katanya.

Marhamah menegaskan, pengalaman tersebut mengajarnya bahawa Allah tidak sentiasa mengubah keadaan, tetapi menguatkan jiwa untuk melalui keadaan iaitu satu bentuk ‘pelukan’ Ilahi kepada hamba-Nya.

Beliau turut mengingatkan bahawa ujian sebenar bukan hanya ketika seseorang berada di tempat yang dinilai, tetapi juga apabila peranan berubah dan kita pula berada di posisi menilai orang lain.

“Islam tidak membina manusia yang tajam lidahnya tetapi tumpul empatinya. Islam membina manusia yang berhati-hati dengan sangkaan, lembut dengan manusia, dan jujur dengan diri sendiri,” katanya sambil menegaskan konsep Islam Rahmah yang mendidik tanpa merendahkan dan menegur tanpa melukakan.

Marhamah menjelaskan, tulisan tersebut bukan bertujuan membela diri atau menjawab mana-mana pihak, sebaliknya sebagai muhasabah peribadi dan jemputan kepada masyarakat agar melihat manusia dengan hati bukan sekadar penilaian luaran.

“Jika kita pernah merasa sakit kerana dinilai sesuka hati, janganlah kita menjadi sebab orang lain merasa sakit dengan cara yang sama,” ujarnya.

Mengakhiri refleksi itu, Marhamah menegaskan Surah Adh-Dhuha mengajar bahawa walaupun manusia menjauh, Allah tidak pernah meninggalkan dan dengan kebersamaan Allah, setiap ujian akan membentuk insan yang lebih kuat dan lebih beradab.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button