Urusan haji jemaah Malaysia lancar, penerbangan kini fasa aktif – Marhamah
SINTOK – Urusan haji bagi jemaah Malaysia setakat ini berjalan lancar dengan pergerakan penerbangan ke Tanah Suci kini memasuki fasa aktif, melibatkan kira-kira 100 penerbangan keseluruhan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, jemaah telah mula berlepas secara berperingkat ke Madinah dengan purata tiga hingga empat penerbangan setiap hari.
Menurutnya, jemaah yang telah tiba di Tanah Suci juga kini giat membuat persiapan awal bagi menunaikan ibadah haji.
“Bakal jemaah juga dinasihatkan supaya menjaga kesihatan sebelum berlepas kerana keadaan cuaca serta kepadatan di Tanah Suci berbeza dan mencabar,” memetik Awani online.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Jerayawara Kesedaran Isu Sosial (J-KIS) peringkat zon utara di Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini.
Dalam pada itu, Marhamah turut merakamkan penghargaan kepada Lembaga Tabung Haji (TH) atas usaha berterusan menambah baik fasiliti demi memastikan keselesaan serta kebajikan jemaah Malaysia.
Mengulas lanjut, beliau berkata program J-KIS memberi fokus kepada peningkatan kesedaran isu sosial dan kesihatan mental dalam kalangan mahasiswa.
“Inisiatif itu merangkumi usaha membentuk kemahiran mengurus emosi, konflik serta cabaran kehidupan dalam kalangan golongan muda.
“Program ini merupakan kesinambungan inisiatif nasional yang dilancarkan pada 2025 dan kini diperluaskan ke peringkat institusi pendidikan tinggi bagi mendekati mahasiswa secara lebih tersusun, berfokus dan berimpak.
“Pengisian program merangkumi pelbagai slot termasuk isu kesihatan mental, tingkah laku berisiko, penyalahgunaan bahan, pembentukan jati diri serta literasi digital dan etika media sosial,” katanya lagi.
Beliau berkata, program berkenaan melibatkan penyertaan hampir 600 pelajar dan dijangka diperluaskan ke zon lain termasuk selatan serta pantai timur.
Tambahnya, usaha itu penting bagi melahirkan generasi muda yang seimbang dari segi intelektual dan emosi serta mampu menjadi pemimpin masa depan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








