Rakyat Malaysia nikmati perayauan data lancar di Timor-Leste
PUTRAJAYA – Rakyat Malaysia yang berada di Timor-Leste kini dapat menikmati perkhidmatan perayauan data (data roaming) yang lebih lancar dan berpatutan selepas pengaktifan perkhidmatan berkenaan oleh pengendali rangkaian mudah alih utama negara.
Kementerian Komunikasi memaklumkan mulai 17 Oktober 2025, empat syarikat telekomunikasi utama iaitu CelcomDigi, Maxis, TM dan U Mobile telah berjaya mengaktifkan perkhidmatan perayauan data di Timor-Leste, manakala YTL Communications memulakan perkhidmatan tersebut pada 24 Oktober 2025.
Menurut kenyataan itu, inisiatif tersebut bertujuan memastikan rakyat Malaysia yang berada di Timor-Leste dapat menikmati sambungan internet mudah alih yang stabil dan mampu milik, setanding dengan kadar perayauan di negara-negara anggota ASEAN lain.
“Perkhidmatan perayauan 4G di Timor-Leste merupakan satu pencapaian besar berbanding rangkaian infrastruktur 2G dan 3G sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Perkembangan itu hasil kerjasama rapat antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Autoridade Nacional de Comunicações (ANC) Timor-Leste serta sokongan perkongsian strategik antara penyedia rangkaian mudah alih Malaysia dan syarikat telekomunikasi utama Timor-Leste iaitu Telkomsel, Telemor dan Timor Telecom.
Kementerian turut berkata, kejayaan ini sejajar dengan keutamaan Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 yang memberi tumpuan kepada aspek keterangkuman, kelestarian dan keterhubungan digital, selain mencerminkan komitmen ASEAN dalam memupuk komuniti berfokuskan rakyat.
“Malaysia juga mengalu-alukan penyertaan Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN, yang merupakan detik bersejarah dalam mengukuhkan perpaduan serantau dan visi bersama ke arah rantau yang lebih inklusif serta terhubung secara digital,” katanya lagi.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia kekal komited menyokong usaha memperkukuh integrasi serantau serta memperluas keterhubungan digital merentas sempadan, selaras dengan tema ‘Membentuk Masa Depan Digital Bersama’ bagi semua rakyat ASEAN.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








