BERITA SEMASA

Bapa, anak lelaki maut dalam kebakaran rumah

KUALA TERENGGANU – Seorang bapa dan anak lelakinya maut dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Tok Jembal, Kuala Nerus, awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian itu daripada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kira-kira jam 4 pagi.

Menurutnya, sepasukan anggota ronda cegah jenayah dari Balai Polis Gong Badak kemudian dikerahkan ke lokasi dan tiba kira-kira jam 4.10 pagi.

“Pemeriksaan di lokasi mendapati kebakaran memusnahkan kira-kira 70 peratus struktur rumah berkenaan yang dimiliki seorang wanita berusia 67 tahun.

“Pemeriksaan lanjut di dalam kediaman itu kemudian mendapati dua penghuni iaitu seorang lelaki dewasa berusia 40 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun telah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azli berkata, operasi pemadaman dijalankan dengan kekuatan 16 anggota dan pegawai bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus serta BBP Kuala Terengganu.

“Kebakaran berjaya dikawal sebelum dipadamkan sepenuhnya pada jam 6.10 pagi.

“Punca sebenar kebakaran dan anggaran jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button