Kebakaran hutan 14.9 hektar di Puncak Jalil padam sepenuhnya – bomba
KUALA LUMPUR – Kebakaran hutan di lereng bukit Puncak Jalil berhampiran Seri Kembangan yang melibatkan kawasan seluas kira-kira 14.9 hektar berjaya dipadam sepenuhnya oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, operasi memadam kebakaran itu ditamatkan pada 3.48 pagi selepas api berjaya dikawal sepenuhnya.
Menurut beliau, kerja-kerja pemadaman dilakukan menggunakan dua aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan pam jentera selain bantuan peralatan firebeater bagi mengawal kebakaran di kawasan hutan berkenaan.
“Kebakaran tidak membabitkan mangsa dan struktur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, JBPM menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada petang semalam membabitkan kebakaran di kawasan hutan lereng bukit bersebelahan Lebuhraya MEX.
Bagaimanapun, hasil pemeriksaan di lokasi mendapati kebakaran melibatkan kawasan lebih luas dengan anggaran 500 meter × 300 meter sebelum operasi pemadaman dibahagikan kepada enam sektor bagi memudahkan kerja mengawal api.
Kebakaran tersebut dipercayai merebak dengan lebih cepat pada waktu malam berbanding ketika ia mula dikesan pada petang semalam.
Dalam pada itu, Ahmad Mukhlis memaklumkan seramai 27 anggota bomba terlibat dalam operasi berkenaan yang membabitkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Kembangan, Cyberjaya, Puchong dan Subang Jaya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








