BERITA SEMASADALAM NEGERI

Tanah runtuh di TTDI: Tembok sekolah, 2 kenderaan terjejas

KUALA LUMPUR – Sebuah sekolah antarabangsa di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini gempar apabila tembok batu roboh akibat kejadian tanah runtuh, sekali gus menjejaskan beberapa struktur bangunan dan kenderaan, pagi ini.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada jam 7.18 pagi tadi menerusi sistem MERS999.

Menurut kenyataan JBPM, seramai 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) TTDI serta BBP Sri Hartamas digerakkan ke lokasi bersama dua jentera, iaitu Fire Rescue Tender (FRT) dan Emergency Medical Rescue Services (EMRS).

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Azkhan Hamdan berkata, siasatan awal mendapati runtuhan itu berpunca daripada kejadian tanah runtuh yang berlaku berhampiran kawasan sekolah.

“Sebaik tiba, anggota bomba menjalankan penilaian awal bagi memastikan keadaan persekitaran selamat sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya memetik laporan Buletin TV3.

Beliau turut memaklumkan bahawa runtuhan itu turut merosakkan dua buah kenderaan serta beberapa struktur penting dalam bangunan sekolah termasuk bilik darjah, bilik guru, tandas dan perpustakaan yang meningkatkan risiko geoteknikal dan tanah di kawasan terbabit.

Bagaimanapun, operasi berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 7.55 pagi dan tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan.

Pihak bomba sedang menjalankan pemantauan susulan bagi memastikan tiada risiko tambahan berlaku dan keselamatan semua penghuni kawasan terbabit terjamin.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button