BERITA SEMASA

JBPM Kelantan nasihat orang ramai jauhi lokasi runtuhan tebing Sungai Kelantan

KOTA BHARU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan menasihatkan orang ramai agar tidak mendekati lokasi runtuhan di tebing Sungai Kelantan berhampiran sebuah pangsapuri dan hotel di Jalan Post Office Lama, di sini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Kelantan, Mohd Wildan Azhari, berkata, sebagai langkah keselamatan, pihaknya telah memasang pita keselamatan di sekeliling lokasi runtuhan bagi mengelakkan orang awam daripada mendekati kawasan berkenaan.

“Setakat ini keadaan di lokasi terkawal… kita sudah letakkan pita keselamatan di sekeliling kawasan runtuhan bagi mengelakkan orang awam melintasi kawasan berisiko berkenaan,” katanya memetik laporan Buletin TV3.

Mengulas lanjut, Mohd Wildan berkata, sebagai tambahan keselamatan, pemantauan berkala akan dilakukan di lokasi runtuhan itu terutama selepas foto kejadian tular di media sosial sejak semalam.

Beliau berkata, pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu telah diarahkan untuk memantau kawasan berkenaan kerana dikhuatiri berlaku pergerakan tanah susulan.

“Kejadian yang berlaku semalam itu tidak membabitkan mangsa, namun kami sentiasa bersedia sekiranya berlaku sebarang kemungkinan dan turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mendekati lokasi di sekitar runtuhan kerana bimbang masih ada pergerakan tanah,” katanya.

Semalam, media melaporkan berlaku runtuhan sepanjang hampir 50 meter di tebing Sungai Kelantan, yang turut mengakibatkan laluan pejalan kaki dan kawasan rekreasi runtuh dari ketinggian hampir 10 meter.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button