BERITA SEMASADALAM NEGERIJENAYAH & MAHKAMAH

Wanita disyaki disimbah asid ketika buka premis urutan

BACHOK – Seorang peniaga wanita berusia 27 tahun cedera selepas disimbah cecair dipercayai asid oleh individu tidak dikenali dalam satu kejadian berhampiran sebuah kedai serbaneka di Beris Kubur Besar, Tawang, Bachok, semalam.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, kejadian berlaku ketika mangsa sedang membuka pintu premis miliknya bagi memberikan perkhidmatan urutan berasaskan temu janji yang ditetapkan.

“Ketika mangsa hendak memulakan operasi perniagaannya, seorang suspek yang tidak dikenali tiba-tiba datang dan menyimbah cecair dipercayai asid ke arahnya sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, siasatan awal forensik di lokasi kejadian telah menemui beberapa bahan bukti yang boleh membantu siasatan.

“Hasil pemeriksaan forensik menemui empat kesan cap jari serta satu bekas yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk membawa cecair berkenaan,” katanya.

Mangsa kini sedang menerima rawatan susulan di hospital akibat kecederaan yang dialaminya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau bahan berbahaya.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan suspek. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Tawang atau Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok,” ujar beliau lagi.

Pihak polis menggesa orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut demi menjaga integriti siasatan dan kesejahteraan mangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button