
Isu buli: Jangan ‘swasta’ peranan didik anak – Asyraf Wajdi
KUALA LUMPUR – Budaya buli yang semakin membimbangkan di sekolah tidak boleh dilihat sebagai tanggungjawab pelajar atau guru semata-mata, sebaliknya turut berpunca daripada kegagalan asas pendidikan yang bermula di rumah.
Perkara itu ditegaskan Pengerusi MARA, Datuk Seri Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu hantaran di Facebook beliau hari ini.

“Jangan hanya salahkan pelajar atau guru, ibu bapa dan masalah di rumah juga antara faktor utama membiaknya perilaku buli hingga terbawa-bawa ke asrama dan sekolah,” tulis beliau.
Menurut beliau lagi, ibu bapa memainkan peranan paling asas dalam membentuk keperibadian anak-anak, khususnya dalam penyemaian adab dan akhlak yang luhur sejak dari kecil.
“Pendidikan seharusnya bermula di rumah. Ia bukan soal mengajar anak mengenai ilmu pengetahuan semata-mata, tetapi yang paling asas adalah penyemaian adab dan akhlak pekerti yang luhur,” kata beliau.
Asyraf Wajdi turut menekankan bahawa dalam konteks umat Islam, pembinaan akidah perlu menjadi tunjang utama dalam pendidikan awal anak-anak.
Jelas beliau, keperibadian seseorang anak adalah cerminan kepada cara didikan dan suasana yang dibentuk oleh ibu bapanya sendiri.
“Jangan sesekali kita bersikap ‘menswastakan’ sepenuhnya pendidikan anak-anak kepada pihak ketiga. Walaupun ada yang mempunyai bibik atau penjaga di rumah, mereka hanyalah pembantu kepada kita sebagai ibu bapa,” tambahnya lagi.
Menguatkan hujahnya, beliau turut memetik sebuah hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA yang bermaksud:Â “Tidak ada seorang manusia yang terlahir kecuali dia dilahirkan atas fitrah (kesucian seperti kain putih). Maka kedua ibubapanyalah yang membuatnya menjadi Yahudi, Nasrani, ataupun Majusi.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Justeru, beliau menggesa agar semua pihak termasuk ibu bapa memainkan peranan aktif dalam menangani isu buli dengan menilai kembali peranan mereka dalam mendidik anak-anak, bukan hanya menyerahkan tanggungjawab sepenuhnya kepada pihak sekolah atau institusi pendidikan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |