BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

HKHM 2025 terima tajaan lebih RM22 juta, bukti keyakinan swasta

PUTRAJAYA – Jumlah tajaan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 kini melebihi angka RM22 juta, sekali gus merekodkan peningkatan lebih lima kali ganda berbanding tahun lalu.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, daripada jumlah tersebut, RM1.9 juta diterima dalam bentuk tunai manakala RM20.24 juta lagi berupa sumbangan ‘in-kind’ atau perkhidmatan daripada rakan strategik kementerian.

“Bagi tahun ini, sebanyak 113 rakan strategik tampil memberi sumbangan dengan pelbagai bentuk sokongan. Tahun lalu kita hanya berjaya mengumpul kira-kira RM4 juta, namun tahun ini jumlahnya melonjak kepada RM21.87 juta dan kini sudah melebihi RM22 juta.

“Peningkatan itu cukup membanggakan dan membuktikan keyakinan pihak swasta serta korporat untuk bersama menjayakan sambutan HKHM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan oleh rakan strategik Kementerian Komunikasi sempena sambutan HKHM 2025, di sini, hari ini.

Antara penaja utama tahun ini termasuk Astro, QSR, Telekom Malaysia (TM), Gerbang Alaf, 7-Eleven, TS Law (yang dinaik taraf kepada pakej Platinum), Food Panda, Mubari, Carsome dan Red Bull.

Menurut Fahmi, semua sumbangan tunai akan disalurkan ke Akaun Amanah Sekretariat Merdeka untuk membiayai persiapan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini.

Katanya, kerajaan turut memberi insentif potongan cukai kepada penaja susulan kelulusan Kementerian Kewangan yang menetapkan HKHM 2025 sebagai projek berkepentingan nasional di bawah subseksyen 44(11C), Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Dengan kelulusan itu, semua penaja layak menuntut potongan cukai pendapatan bagi sumbangan tunai dan in-kind mulai 1 Mei hingga 16 September 2025, dengan jumlah keseluruhan yang dibenarkan sehingga RM20 juta,” katanya.

Beliau percaya, insentif itu akan menggalakkan lebih banyak penglibatan sektor swasta dalam menjayakan penganjuran HKHM pada skala lebih besar dan berimpak tinggi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button