Hazwani Helmi dedah kekejaman tentera Israel terhadap tahanan Global Sumud Flotilla
KUALA LUMPUR – “Mereka layan kami seperti binatang.”
Demikian luahan sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) dari Malaysia, Hazwani Helmi sebaik tiba di Istanbul, Turkiye semalam, selepas melalui detik perit ditahan tentera Israel ketika dalam pelayaran menuju Gaza.
Hazwani yang juga penyanyi dan aktivis kemanusiaan, tiba di Lapangan Terbang Istanbul pada pukul 8.40 malam tadi sebelum tampil menceritakan pengalaman ngeri itu dalam temu bual bersama agensi berita Al Jazeera.

Menurutnya, sepanjang ditahan, sukarelawan tidak diberi makanan dan minuman bersih, selain segala ubat-ubatan serta barangan peribadi mereka turut dirampas.
“Sampai sekarang kami masih belum dapat semula barangan kami. Dunia perlu tahu kekejaman mereka,” katanya.
Hazwani turut berkongsi kisah layanan kasar tentera Israel terhadap aktivis alam sekitar terkenal, Greta Thunberg yang juga menyertai misi kemanusiaan itu.
“Saya teringat bagaimana mereka menyeretnya dengan kasar dan menekap bendera Israel di wajahnya. Mereka melayannya seperti binatang,” dedahnya lagi.
Menurut laporan media antarabangsa, Thunberg, 22, kini selamat sampai di Paris selepas dibebaskan rejim Israel.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa 23 sukarelawan Malaysia dalam misi GSF kini selamat berada di Istanbul.
Mereka menjalani pemeriksaan kesihatan dan mendapat sokongan psikologi penuh daripada pihak berkuasa Turkiye.
Kumpulan berkenaan diterbangkan menaiki pesawat khas kerajaan Turkiye, TK6921 dari Lapangan Terbang Ramon, Israel dan dijangka pulang ke tanah air malam ini atau esok.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








