BISNES & EKONOMI

Bayu Seafood tampil konsep makanan laut hidup, pengalaman jamu selera premium di tengah KL

KUALA LUMPUR – Menawarkan pengalaman memilih makanan laut hidup terus dari akuarium sebelum dimasak mengikut cita rasa pelanggan menjadi antara tarikan utama Bayu Seafood by White N Black yang mengetengahkan konsep budaya Sabah di Taman Botani Perdana di sini.

Pengasas White N Black Group (WNB Group), Muhammad Firdaus Jamaluddin berkata, restoran itu dibangunkan bagi menawarkan pilihan makanan laut dengan konsep premium kepada pelanggan, khususnya masyarakat Bumiputera Islam.

Beliau berkata, idea berkenaan tercetus apabila melihat peluang dalam pasaran restoran makanan laut dan masakan Cina yang boleh diterokai menerusi pendekatan berbeza.

“Kita mahu menarik pelanggan dengan menyediakan kemudahan yang mewah dan premium, selain menawarkan hidangan makanan laut premium seperti ketam raja (king crab), ikan kerabu dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata ketika sidang media sempena majlis perasmian Bayu Seafood yang dirasmikan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, di sini baru-baru ini.

Baca juga : Masakan Thai premium halal jadi tarikan White n Black Royal Thai Cuisine

bayu seafood
Suasana Bayu Seafood by White N Black di Taman Botani Perdana yang mengetengahkan konsep makanan laut hidup dan budaya Sabah.

Menurut Muhammad Firdaus, restoran berkenaan menawarkan kira-kira 40 pilihan menu, termasuk ketam raja atau king crab yang disediakan dengan tiga pilihan sos, iaitu buttermilk, Thai dan sos hijau.

Selain itu, pelanggan turut boleh memilih ikan air tawar dan air masin yang ditempatkan di dalam akuarium sebelum dimasak mengikut pilihan mereka.

“Dan ikan ni ikan masih hidup, maksudnya segar. Pelanggan boleh tangkap, kita masak dan kita hidangkan. jadi, memang memberi pengalaman berbeza,” katanya.

Firdaus berkata, keunikan WNB Group terletak pada kepelbagaian konsep dan menu bagi setiap cawangan, berbanding menggunakan konsep sama untuk semua cawangan.

Beliau berkata, kumpulan itu menetapkan sasaran sekurang-kurangnya satu cawangan baharu setahun, dengan dua cawangan berjaya dibangunkan pada tahun ini.

WNB Group yang diasaskan pada 2019 menerusi White N Black Cabin kini mempunyai lapan cawangan merangkumi restoran, aktiviti rekreasi dan sukan air.

bayu seafood
Ketam raja atau King crab antara hidangan makanan laut premium yang ditawarkan Bayu Seafood by White N Black kepada pelanggan.

Bayu Seafood mula beroperasi pada 1 Mac lalu dan majlis perasmian pada 11 Oktober diadakan bagi memperkenalkan secara rasmi konsep serta identiti restoran berkenaan kepada masyarakat.

Dalam pada itu, Firdaus berkata, restoran itu turut menyasarkan pelanggan daripada pelbagai kaum dan latar belakang, termasuk masyarakat Cina dan India.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan pensijilan halal bagi Bayu Seafood dapat diperoleh pada November ini.

Bagi menggalakkan kunjungan pelanggan, restoran itu turut menawarkan baucar diskaun 10 peratus kepada mereka yang membuat tempahan awal, dengan promosi berkenaan dijangka berlangsung sehingga penghujung tahun ini.

Menurut Firdaus, restoran itu juga dijadualkan menyediakan perkhidmatan makanan kepada 380 tetamu bagi acara meet and greet bersama artis terkenal tanah air, Datuk Siti Nurhaliza pada 17 dan 18 Oktober ini.

Selain hidangan makanan laut, Bayu Seafood turut mengetengahkan elemen kebudayaan Sabah menerusi persembahan tarian buluh, selain sesi Joget Lambak pada setiap Sabtu dan Ahad, dari pukul 8 malam hingga 10 malam.

Terletak dalam persekitaran hijau Taman Botani Perdana, restoran itu mampu menampung sehingga 300 pelanggan pada satu-satu masa serta menyediakan kemudahan bilik mesyuarat, surau lelaki dan wanita, tempat berwuduk, sudut bergambar dan perkhidmatan buggy dari kawasan Cascade Parking.

Dalam perancangan jangka panjang, WNB Group menyasarkan untuk melaksanakan penawaran awam permulaan (IPO) menjelang penghujung 2029, selaras dengan usaha mengembangkan perniagaan yang dibangunkan menggunakan modal sendiri, menurut pengasasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button