Anne Burrell meninggal dunia
NEW YORK – Cef selebriti terkenal, Anne Burrell, 55, yang terkenal dalam kalangan peminat kulinari meninggal dunia di kediamannya di Brooklyn, semalam.
Anne, yang dikenali melalui rancangan popular di Food Network seperti Worst Cooks in America dan Secrets of a Restaurant Chef merupakan seorang ikon dalam dunia gastronomi.
Menurut laporan, Anne ditemukan tidak sedarkan diri di kediamannya pada awal pagi dan disahkan meninggal dunia oleh paramedik yang tiba di lokasi.
Punca sebenar kematiannya masih belum diumumkan dan siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.
Dalam satu kenyataan, keluarga mendiang menyifatkan pemergiannya sebagai satu kehilangan besar bukan sahaja buat mereka tetapi juga buat peminatnya di seluruh dunia.
“Anne adalah seorang isteri, anak, kakak, ibu tiri dan sahabat yang amat disayangi. Senyumannya mampu menerangi seisi ruang dan kasih sayangnya tiada batas,” kata keluarga mendiang.
Anne mendirikan rumah tangga dengan Stuart Claxton pada 2021.
Pasangan itu dilaporkan bahagia dan Anne terus aktif dalam dunia masakan TV sehingga akhir hayatnya.
Jurucakap Food Network, rangkaian televisyen yang banyak menampilkan Anne, turut menyampaikan rasa dukacita di atas pemergian insan yang mereka sanjungi.
“Anne adalah seorang individu dan bakat kulinari luar biasa. Sepanjang kerjaya beliau, dia sentiasa mengajar, bertanding dan berkongsi betapa pentingnya makanan dalam hidupnya serta kegembiraan yang wujud daripada hidangan yang enak,” kata kenyataan itu.
Selain itu, Anne juga pernah tampil dalam rancangan kompetitif Iron Chef America yang melonjakkan namanya sebagai salah seorang cef wanita paling dikenali dalam dunia penyiaran Amerika.
Upacara penghormatan terakhir Anne akan dilaksanakan secara tertutup bersama keluarga terdekat.
Rakan-rakan industri dan peminat dari seluruh dunia turut mengucapkan takziah dan berkongsi kenangan manis mereka bersama Anne di media sosial.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








