Parti Republikan gesa siasat kelayakan warganegara Mamdani sebagai Datuk Bandar
WASHINGTON – Kemenangan Zohran Mamdani sebagai Datuk Bandar New York mencetuskan kontroversi apabila beberapa ahli parti Republikan di Washington mendakwa beliau tidak layak memegang jawatan itu dan menuntut siasatan terhadap proses naturalisasinya sebagai warganegara Amerika Syarikat (AS).
Mamdani, 34, yang mencipta sejarah sebagai Datuk Bandar Muslim dan Asia Selatan pertama di kota metropolitan berkenaan turut menjadi sasaran Presiden Donald Trump yang sebelum ini mengancam untuk menahan dana persekutuan kepada New York sekiranya beliau menang.
Trump dalam kenyataannya turut menyebarkan dakwaan tidak berasas mengenai status kewarganegaraan Mamdani serta menuduh beliau sebagai seorang komunis.
Beberapa tokoh Republikan termasuk Ahli Kongres Andy Ogles dan Randy Fine mendesak Jabatan Kehakiman menjalankan siasatan terhadap proses pemberian taraf warganegara kepada Mamdani malah menggesa agar beliau dilucutkan kewarganegaraan serta dihantar pulang ke Uganda jika terbukti menipu.
“Jika Mamdani berbohong dalam dokumen naturalisasinya, beliau tidak layak menjadi warganegara, apatah lagi mentadbir New York.
“Bandar besar ini kini di ambang pemerintahan seorang komunis yang pernah menyokong ideologi keganasan,” kata Ogles dalam kenyataan medianya pada Oktober lalu.
Fine dalam satu temu bual di rangkaian Newsmax pada 27 Oktober mendakwa Mamdani hanya menetap di AS sejak lapan tahun lalu, sambil menyifatkan beliau sebagai “contoh ancaman dari dalam.”
Bagaimanapun, semakan oleh portal PolitiFact mendapati tiada bukti sahih menunjukkan Mamdani berbohong dalam permohonan kewarganegaraannya.
Rekod rasmi menunjukkan beliau dilahirkan di Uganda dan berhijrah ke AS pada 1998 ketika berusia tujuh tahun sebelum memperoleh taraf warganegara pada 2018.
Menurut undang-undang imigresen AS, seseorang hanya boleh dilucutkan kewarganegaraan melalui perintah mahkamah, lazimnya dalam kes berat seperti bekas anggota Nazi atau individu terbabit dalam aktiviti keganasan.
Peguam imigresen, Jeremy McKinney berkata, proses denaturalisasi adalah langkah yang amat jarang dilakukan dan hanya boleh dilaksanakan jika kerajaan membuktikan berlakunya penipuan besar atau pemalsuan maklumat penting.
“Saya tidak melihat sebarang bukti kukuh bahawa Mamdani tidak layak ketika mengangkat sumpah atau bahawa sebarang maklumat telah disembunyikan secara material,” katanya.
Kontroversi terhadap Mamdani mula tercetus sejak musim panas lalu ketika beliau diumumkan sebagai calon Demokrat bagi jawatan Datuk Bandar.
Ogles dalam sepucuk surat kepada Peguam Negara, Pam Bondi, mendakwa Mamdani mungkin menipu dengan menyembunyikan sokongan terhadap kumpulan pengganas, merujuk kepada lirik lagu rap yang pernah ditulisnya pada 2017 yang menyokong “Holy Land Five” — lima individu dalam yayasan kebajikan Islam yang pernah disabitkan atas kesalahan menyalur dana kepada Hamas.
Selain itu, Ogles dan Fine turut mendakwa Mamdani gagal mendedahkan keahliannya dalam kumpulan Democratic Socialists of America (DSA), yang mereka dakwa sebagai parti komunis.
Namun, pakar sejarah politik dari Universiti Emory, Harvey Klehr menjelaskan bahawa DSA bukan parti komunis, sebaliknya berasaskan ideologi sosialisme demokratik yang menolak sistem totalitarian serta pemilikan mutlak oleh negara.
Dengan kemenangan besar dalam pilihan raya, Mamdani kini bersiap sedia untuk mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar New York pertama berketurunan Asia Selatan — meskipun berdepan tekanan politik berterusan daripada lawan di peringkat persekutuan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








