BERITA SEMASA

Adik anggota bomba lemas ditemukan 3.7km dari lokasi hilang

BACHOK – Misteri kehilangan adik kepada seorang anggota bomba yang hilang ketika mandi di Pantai Kandis di sini sejak Selasa lalu terungkai apabila mayatnya ditemukan semalam, selepas lebih 37 jam operasi mencari dan menyelamat dijalankan.

Mangsa, Ahmad Nuruddin Ab Wahab, 21, ditemukan pada jarak kira-kira 3.7 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Penolong Kanan Penguasa Bomba Ahmad Ridhuan Mohamad Ghazali berkata, mayat mangsa ditemukan orang awam di pesisir Pantai D’Aur kira-kira jam 6.55 pagi.

“Penemuan itu dimaklumkan kepada Pos Operasi Bomba sebelum pasukan kami ke lokasi untuk tindakan lanjut.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis bagi proses seterusnya,” memetik laporan Sinar online.

Terdahulu, media melaporkan abang mangsa, Ahmad Badrul Naim Ab Wahab, 32, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru, Pulau Pinang, turut terkorban dalam kejadian berkenaan.

Allahyarham ditemukan terdampar di pantai kira-kira jam 12.15 tengah hari Rabu pada jarak kira-kira tiga kilometer dari lokasi dipercayai hilang.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang Selasa, Ahmad Badrul Naim dilaporkan cuba menyelamatkan adiknya yang terkapai-kapai dibawa ombak sebelum kedua-duanya dihanyutkan arus kuat.

Seorang lagi ahli keluarga, Mohd Ali Al-Imran Mohd Ezad, 12, yang turut berada di lokasi kejadian bagaimanapun berjaya diselamatkan bapanya, Mohd Ezad Abu Hassan, 40, yang bertindak terjun ke laut.

Kejadian itu menyayat hati apabila usaha seorang abang untuk menyelamatkan adik akhirnya meragut nyawa kedua-duanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button