BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Ada terdengar dentuman kuat pukul 1 pagi – Ridz Okumura kongsi cerita malam kejadian Akiko jatuh

KUALA LUMPUR – Suami kepada Allahyarham Akiko Okumura iaitu pempengaruh Ridz Okumura mengakui hanya menyedari isterinya tiada di rumah pada keesokan pagi selepas arwah jatuh dari tingkap unit kondominium mereka.

Ridz atau nama sebenar Abd. Ridzuan Abdul Mutalib, 50, berkata, walaupun dia ada mendengar bunyi dentuman seperti objek jatuh berhampiran kediamannya, dia tidak mengesyaki ada kaitan dengan isterinya.

Katanya, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 1 pagi dan ketika itu dia terlalu penat untuk bangun melihat apa yang berlaku.

“Ada dengar macam bunyi orang jatuh, ingatkan ada kemalangan sebab rumah tepi lebuh raya,” katanya dalam satu siaran live TikTok.

Bagaimanapun katanya, dia mula mengesyaki sesuatu yang pelik apabila tidak melihat kelibat isterinya menjelang keesokan paginya sedangkan Akiko akan bangun menyediakan sarapan setiap hari.

“Saya masuk ke bilik kerana rasa tak sedap hati dan mendapati tingkap bilik terbuka dan dalam keadaan rosak,” katanya.

Katanya, dia kemudian bergegas turun ke bilik air utama dan mendapati Akiko berada dalam keadaan tertiarap di atas tanah.

“Saya tak fikir panjang, terus minta pengawal keselamatan untuk menelefon pihak ambulans dan polis.

“Disebabkan arwah jatuh dalam keadaan yang baik, abang tidak mengalihkan badannya kerana sangka dia masih bernyawa,” tambahnya.

Ridz Okumura semasa siaran Live TikToknya malam tadi.

Ridz menyifatkan isterinya seorang yang sangat penyayang sepanjang 16 tahun hidup bersama.

“Selama 16 tahun saya berkahwin dengan Akiko, satu orang kawan pun dia tak ada, yang dia ada cuma mak dia saja.

“Dia tinggalkan semua itu dan curahkan segalanya, ‘perhambakan’ diri dia kepada saya dan anak,” katanya.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki bernama Sky Taizo Okumura, 13.

Akiko meninggal dunia dalam kejadian Jumaat lalu yang dikategorikan sebagai mati mengejut (SDR) dan polis hanya mendedahkan identiti mangsa semalam.

 

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button