JENAYAH & MAHKAMAH

Treler langgar penghadang di Lebuh Raya SPE, dua lelaki maut tercampak ke bawah

KUALA LUMPUR – Dua lelaki maut selepas tercampak ke bawah lebuh raya dalam satu kemalangan membabitkan sebuah lori treler di Lebuh Raya Sungai Besi–Ulu Klang Expressway (SPE), berhampiran Jalan Chan Sow Lin, malam tadi.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.55 malam sebelum Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu digerakkan ke lokasi dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta sembilan anggota pelbagai pangkat.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Nur Zahela Mohamad Zainal berkata, sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati terdapat dua insiden berasingan berlaku di kawasan berkenaan.

Keadaan di lokasi kemalangan yang membabitkan sebuah treler dan insiden melibatkan kren pembinaan di Jalan Chan Sow Lin. – Foto JBPM

“Insiden pertama membabitkan kemalangan lori treler melanggar batu penghadang konkrit yang mengakibatkan dua mangsa lelaki tempatan iaitu pemandu dan kelindan tercampak ke bawah lebuh raya,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh paramedik ambulans Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kerja-kerja mengangkat mangsa dilakukan dan mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Tambahnya, terdapat satu lagi insiden melibatkan sebuah kren di tapak pembinaan yang terletak berhampiran.

“Terdapat seorang mangsa lelaki warga Pakistan cedera di kaki dan telah diberikan rawatan awal oleh anggota paramedik sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button