42 jemaah umrah India maut dalam tragedi bas terbakar di Arab Saudi
JEDDAH – Sekurang-kurangnya 42 jemaah umrah dari India maut selepas bas yang membawa mereka dari Mekah ke Madinah berlanggar dengan sebuah lori tangki diesel sebelum terbakar dalam kejadian malam tadi.
Laporan awal menyebut korban melibatkan 42 jemaah termasuk 20 wanita dan 11 kanak-kanak, menjadikannya antara insiden paling buruk membabitkan jemaah dari India dalam beberapa tahun kebelakangan ini, lapor Times of India.
Kebanyakan mangsa berasal dari Hyderabad dan Telangana.
Perlanggaran kuat itu menyebabkan bas berkenaan hangus terbakar manakala beberapa mangsa berjaya diselamatkan oleh penduduk tempatan yang berada berhampiran lokasi kejadian.
Sementara itu, NDTV melaporkan, seorang mangsa, Mohd Abdul Shoiab, 24, antara yang terselamat dalam kemalangan ngeri itu. Laporan menyebut, dia duduk berhampiran dengan pemandu bas ketika kejadian berlaku. Bagaimanapun, keadaannya masih tidak dapat dipastikan selepas dimasukkan ke hospital.

Susulan itu, Kerajaan Negeri Telangana menubuhkan bilik gerakan krisis bagi mendapatkan maklumat terkini selain bekerjasama rapat dengan Kementerian Hal Ehwal Luar India untuk mengesahkan identiti mangsa dan mengatur penghantaran pulang jenazah.
Ahli Parlimen Hyderabad, Asaduddin Owaisi turut menghubungi pegawai kedutaan di Riyadh dan menggesa tindakan segera untuk membawa pulang mayat mangsa serta memastikan rawatan kecemasan diberikan kepada mereka yang cedera.
Sementara itu, Kedutaan India di Riyadh dan Konsulat Jeneral India di Jeddah membuka talian hotline 24 jam untuk keluarga mangsa.
“Kedutaan India di Riyadh dan konsulat di Jeddah mengucapkan takziah kepada semua yang terkesan akibat kemalangan ini,” kata Menteri Hal Ehwal Luar India, Subrahmanyam Jaishankar dalam satu hantaran di platform X.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







