BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

KPT serah siasatan kes pelajar UM maut jatuh bangunan kepada polis

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan pihaknya menyerahkan sepenuhnya siasatan melibatkan kes pelajar Universiti Malaya (UM) yang maut dipercayai akibat terjatuh dari bangunan asrama minggu lalu kepada pihak polis.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, perkara terbabit masih dalam siasatan pihak berkuasa.

zambry
Zambry menegaskan KPT menyerahkan siasatan penuh kepada pihak berkuasa. 

“Kita serah kepada pihak berkuasa, pihak polis untuk menyediakan laporan itu.

“Jadi untuk peringkat ini, biarlah kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan sewajarnya,” katanya memetik laporan BH Online.

Beliau berkata sedemikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Karya Agung Melayu (PAKAM) 2025 mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini hari ini.

Terdahulu, dalam kejadian pada 17 Oktober lalu, Ahmad Arif Zawir Mohd Ali, 22, maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan Blok Zainab, Kolej Kediaman 13 di universiti tersebut.

Pada 18 Oktober, polis mengesahkan punca kematian mangsa akibat kecederaan serius di kepala kerana jatuh dari tempat tinggi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat dilaporkan berkata, bedah siasat juga mendapati tiada kesan jerutan atau sebarang unsur jenayah lain.

Ahmad Arif yang juga pelajar Sains Gunaan Pengajian Islam, Akademi Pengajian Islam UM, dikejarkan ke Pusat Perubatan UM (PPUM) untuk rawatan dan mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di sana.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button