JENAYAH & MAHKAMAH

Terpedaya tawaran kerja sambilan, suri rumah rugi RM70,731

KUALA TERENGGANU – Hasrat seorang suri rumah untuk menambah pendapatan keluarga bertukar mimpi ngeri apabila dia menjadi mangsa penipuan sindiket pekerjaan sambilan dalam talian hingga mengalami kerugian sebanyak RM70,731.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa berusia 28 tahun itu membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu pada pukul 2.18 petang semalam.

Menurut beliau, kejadian bermula pada 2 Januari lalu apabila mangsa menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali yang mendakwa sebagai wakil platform e-dagang.

“Suspek memaklumkan kononnya ingin menghantar hadiah dari platform berkenaan sebelum menawarkan peluang pekerjaan sambilan secara dalam talian kepada mangsa.

“Tertarik dengan tawaran tersebut, mangsa bersetuju dan diarahkan membuat bayaran bagi melaksanakan tugasan yang diberikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, mangsa kemudian melakukan tujuh transaksi pembayaran ke beberapa akaun bank berbeza seperti diarahkan melibatkan jumlah keseluruhan RM70,731.

“Bagaimanapun, mangsa mula mengesyaki dirinya ditipu selepas tidak menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan sebelum tampil membuat laporan polis,” katanya.

Menurut beliau, wang terbabit diperoleh daripada simpanan peribadi mangsa selain pinjaman daripada ahli keluarga terdekat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button