BERITA SEMASA

Wanita tempatan rugi RM794,000 terpedaya skim pelaburan palsu

PULAU PINANG – Seorang wanita tempatan berusia 47 tahun mengalami kerugian sebanyak RM794,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan dalam talian tidak wujud yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat.

Mangsa yang bekerja sebagai pereka dalaman itu dikatakan mula berhubung dengan sindiket berkenaan setelah melihat iklan pelaburan menerusi aplikasi Facebook pada awal April lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, mangsa kemudian berkomunikasi dengan seorang suspek wanita melalui aplikasi WhatsApp dan diminta untuk memuat turun aplikasi pelaburan serta mendaftar sebagai ahli.

“Skim itu menjanjikan pulangan sebanyak 100 peratus daripada jumlah pelaburan yang dibuat, yang membuatkan mangsa tertarik untuk melabur,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Antara 11 April hingga 3 Jun lalu, mangsa telah melakukan tujuh transaksi pemindahan wang ke dalam tujuh akaun bank berbeza milik beberapa syarikat dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM794,000.

Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu apabila cuba mengeluarkan ‘keuntungan’ sebanyak RM2 juta, namun diminta untuk membayar cukai pengeluaran sebanyak RM200,000 terlebih dahulu.

Merasa curiga, mangsa enggan membuat bayaran dan tampil membuat laporan polis pada 16 Jun lalu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Dalam pada itu, Hamzah menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dengan tawaran pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan luar biasa terutamanya yang diperoleh melalui media sosial.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button