Suri rumah rugi lebih RM150,000 terpedaya skim pekerjaan tidak wujud
KUALA TERENGGANU – Seorang suri rumah berusia 30 tahun mengalami kerugian sebanyak RM158,498 selepas wang pusingan modal bapanya dilaburkan dalam satu skim pekerjaan yang didapati tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kejadian itu berlaku pada 9 Mei lalu apabila mangsa tertarik dengan sebuah iklan tawaran kerja dalam talian.
Menurutnya, selepas menekan pautan yang dikongsikan, pengadu berkomunikasi dengan seorang pengurus yang menawarkan peluang pekerjaan melalui aplikasi WhatsApp.
“Mangsa diberi penerangan bahawa tugas yang perlu dilaksanakan adalah untuk menaikkan rating hotel dengan komisen 10 peratus daripada modal yang dilaburkan,” kata beliau.
Pada peringkat awal, mangsa berjaya memperoleh komisen yang dijanjikan selepas melakukan tugasan yang diberikan.
Namun, apabila mangsa melaksanakan tugasan kedua, dia diminta untuk membuat pembayaran berjumlah RM158,498 secara berperingkat ke sembilan akaun bank berbeza.
Bagaimanapun, selepas semua pembayaran selesai dibuat, mangsa tidak menerima sebarang komisen seperti yang dijanjikan.
Akibatnya, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu pada pukul 11.42 pagi semalam.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






