BERITA SEMASA

ADUN Permatang bantah keras penganjuran program songsang, ‘Glamping with Pride’ di Selangor

SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh menzahirkan bantahan keras terhadap penganjuran program dikenali sebagai ‘Glamping with Pride’ kerana disifatkan bercanggah dengan nilai agama, moral serta norma masyarakat negeri itu.

Menurut beliau, program yang dilapor akan dianjurkan di Selangor itu bukan sekadar aktiviti sosial biasa, sebaliknya membawa naratif ‘Pride’ yang secara terbuka mempromosikan identiti seksual serta hubungan sejenis ke ruang awam.

Nurul Syazwani
ADUN Permatang, Nurul Syazwani Noh. 

“Saya ingin menyatakan pendirian yang tegas dan tidak berkompromi bahawa penganjuran program seperti ini adalah tidak wajar, tidak sensitif dan jelas bercanggah dengan nilai serta norma masyarakat Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nurul Syazwani berkata, penganjuran program yang menyasarkan komuniti gay itu merupakan satu bentuk normalisasi terbuka terhadap hubungan sejenis yang bertentangan dengan nilai agama, moral awam serta kerangka perundangan yang diamalkan di Malaysia.

Beliau turut membangkitkan kebimbangan terhadap penganjur program tersebut, Jejaka.org yang menurutnya turut mempromosikan agenda penyahjenayahan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Malaysia sekali gus berpotensi mengelirukan masyarakat awam.

“Walaupun platform itu dipromosikan sebagai portal pendidikan dan akses kepada perkhidmatan kesihatan, pendekatan serta kandungan yang dipaparkan menunjukkan kecenderungan ke arah pengesahan dan normalisasi hubungan sejenis sebagai norma sosial, bukan sekadar pendidikan kesihatan awam yang bersifat neutral,” jelasnya.

Katanya, gabungan antara penganjuran acara fizikal secara terbuka dan penyebaran kandungan digital yang bersifat affirmative menimbulkan kebimbangan serius khususnya terhadap kekeliruan nilai dalam kalangan golongan muda serta keresahan masyarakat awam.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan bahawa kebebasan bersuara dan berpersatuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan bukanlah hak mutlak.

“Islam adalah agama Persekutuan dan kebebasan tersebut tertakluk kepada kepentingan moral, ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat,” katanya.

Menurut Nurul Syazwani, perlakuan homoseksual dan hubungan songsang adalah diharamkan dalam Islam serta bercanggah dengan norma moral yang dijunjung oleh masyarakat Selangor, justeru sebarang usaha untuk menormalisasikannya perlu dihentikan.

Beliau menggesa Kerajaan Negeri Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) supaya mengambil pendirian tegas terhadap penganjuran program berkenaan.

“Kerajaan negeri tidak boleh berdiam diri atau mengambil sikap lepas tangan dalam isu yang menyentuh nilai moral dan keharmonian sosial rakyat Selangor,” tegasnya.

Antara tuntutan yang dikemukakan termasuk menyemak kelulusan serta permit penganjuran selain tidak berkompromi sekiranya terdapat unsur yang bercanggah dengan undang-undang, garis panduan atau sensitiviti masyarakat setempat.

Nurul Syazwani yang juga Ketua Penerangan Wanita Perikatan Nasional dan Ketua Penerangan Srikandi Bersatu Malaysia menegaskan bahawa pendirian tersebut bukan bersifat serangan terhadap mana-mana individu.

“Ini adalah tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat untuk mempertahankan nilai, agama dan kepentingan masyarakat.

“Normalisasi hubungan songsang mesti dihentikan dan ruang awam Selangor tidak wajar dijadikan medan eksperimen ideologi yang bercanggah dengan pegangan majoriti rakyat,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button