Program Jualan Rahmah di DUN Permatang ditangguh: Nurul Syazwani luah rasa kecewa
PERMATANG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh meluahkan rasa kesal terhadap tindakan penangguhan program Jualan Rahmah yang dijadualkan berlangsung esok di pekarangan Pejabat Pusat Khidmat DUN Permatang, di sini.
Menurut beliau, program itu sepatutnya dijalankan dengan kerjasama vendor daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang telah menghubungi pihaknya sejak 14 Mei lalu untuk menjalin kerjasama strategik demi membantu meringankan beban rakyat.
“Walaupun kami telah memaklumkan bahawa kami adalah wakil dari parti pembangkang, pihak vendor tetap bersetuju untuk bekerjasama atas dasar membantu rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa tarikh dan lokasi program telah ditetapkan serta disahkan secara bertulis pada 16 Jun 2025.
Malah, pihaknya juga telah mematuhi permintaan untuk memasukkan logo rasmi KPDN dalam bahan promosi.
Bagaimanapun pada 9 Julai, hanya tiga hari sebelum program berlangsung, pihaknya diminta untuk menangguhkan atau memindahkan lokasi program tanpa sebarang penjelasan lanjut.
Lebih membimbangkan ujar beliau, tindakan tersebut dikaitkan dengan kenyataan terbuka oleh seorang pemimpin politik tempatan yang mempertikaikan kerjasama kementerian dengan pihak pembangkang dalam melaksanakan program berkenaan.
“Saya berpandangan bahawa tuduhan seperti itu boleh menjejaskan kredibiliti pihak kementerian dan menunjukkan kecenderungan untuk mempolitikkan program bantuan rakyat,” tegasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa program seperti Jualan Rahmah sepatutnya bersifat inklusif dan tidak disekat berdasarkan latar belakang politik mana-mana pihak.
“Dana program ini adalah daripada rakyat, bukan parti politik. Maka tidak wajar untuk memilih siapa yang layak dibantu berdasarkan warna bendera,” katanya.
Dalam pada itu, Nurul Syazwani menegaskan komitmennya untuk terus membawa program-program kebajikan ke DUN Permatang dengan kerjasama mana-mana agensi kerajaan, NGO atau sektor swasta selagi matlamatnya adalah untuk membantu rakyat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













