Petro sedia angkat senjata demi Colombia
BOGOTA – Presiden Colombia, Gustavo Petro menegaskan kesediaannya untuk mengangkat senjata semula demi mempertahankan tanah air, meskipun beliau pernah bersumpah tidak akan berbuat demikian sejak termeterainya Perjanjian Damai 1989.
“Saya bersumpah tidak akan menyentuh senjata lagi sejak Perjanjian Damai 1989, namun demi tanah air, saya sanggup mengangkat senjata semula walaupun itu bukan kehendak saya,” tegasnya.
Kenyataan keras itu dimuat naik Petro menerusi platform X susulan ancaman Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang memberi amaran supaya beliau “berjaga-jaga”, selain menuduh pemimpin Colombia itu sebagai “sakit” dan terlibat dalam pengedaran dadah ke AS.
Mengulas kenyataan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, yang mendakwa beliau enggan bekerjasama sedangkan pihak berkuasa Colombia bersedia berbuat demikian, Petro menegaskan dakwaan itu bercanggah sepenuhnya dengan Perlembagaan Colombia.
Menurutnya, maklumat yang disampaikan Rubio adalah tidak tepat dan dipengaruhi kepentingan ahli politik Colombia yang mempunyai hubungan kekeluargaan atau komersial dengan mafia dadah.
“Di bawah perlembagaan negara, Colombia dibina sebagai sebuah negara berteraskan kedaulatan undang-undang dan jaminan hak asasi rakyat sejagat,” katanya.
Petro berkata, selaku pemerintah tertinggi angkatan keselamatan, beliau telah mengarahkan rampasan kokain terbesar dalam sejarah dunia, menghentikan pertumbuhan tanaman daun koka serta melaksanakan pelan penggantian tanaman secara sukarela oleh petani.
Menurutnya, lebih 30,000 hektar ladang koka kini terlibat dalam proses tersebut yang menjadi keutamaan dasar awam negara. Beliau turut mendakwa kawasan El Plateado di Cauca, yang disifatkannya sebagai ‘Wall Street kokain’, berjaya ditawan selepas sebelum ini dibiarkan berkembang oleh kerajaan terdahulu.
“Serangan udara dilakukan dengan mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa, menyasarkan pemimpin utama kumpulan bersenjata yang terlibat dengan pengedaran dadah.
“Kegagalan risikan boleh mengorbankan kanak-kanak yang direkrut kumpulan tersebut,” katanya menerusi kenyataan di X semalam.
Dalam pada itu, Petro memberi amaran bahawa pengeboman terhadap petani akan mencetuskan kebangkitan semula gerila di kawasan pergunungan, manakala sebarang cubaan menahan presiden yang disokong rakyat pula berpotensi mencetuskan kebangkitan rakyat secara besar-besaran.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








