Situasi Asia Barat: Kerajaan lulus pelan evakuasi, akan diaktifkan bila keadaan memerlukan
SEREMBAN – Kerajaan secara dasar telah meluluskan satu pelan evakuasi bagi membawa keluar rakyat Malaysia yang berada di kawasan berisiko di Asia Barat susulan serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel terhadap Iran.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pelan itu akan diaktifkan pada bila-bila masa sekiranya keadaan memerlukan.
Beliau bagaimanapun berkata, kerajaan ketika ini belum bercadang untuk memindahkan rakyat Malaysia daripada kawasan bergolak itu.
“Kita punya pelan evakuasi yang telah diluluskan oleh Kabinet dan ia boleh diaktifkan pada bila-bila masa diperlukan.
“Kita akan laksanakan pelan itu apabila betul-betul memerlukan, namun setakat ini belum ada keperluan. Namun Kementerian Luar melalui Wisma Putra dan kedutaan-kedutaan kita di negara terbabit akan terus memantau setiap hari perkembangan di sana.
“Malah, Wisma Putra juga akan mengeluarkan kenyataan dari semasa ke semasa berhubung situasi di Timur Tengah untuk kepentingan orang ramai,” katanya hari ini.
Beliau seterusnya berkata, pembukaan semula ruang udara dan penyambungan semula penerbangan oleh beberapa pengendali di kawasan terbabit membolehkan rakyat Malaysia yang terkandas dapat dibawa pulang ke tanah air.
Beliau menggesa mereka yang telah mendapat penerbangan untuk pulang supaya dapat memaklumkan pergerakan itu kepada Wisma Putra bagi memudahkan urusan terutama dalam mengenal pasti jumlah rakyat negara ini yang masih terkandas.
“Buat masa ini isu yang perlu ditangani ialah rakyat negara ini yang terkandas manakala bagi rakyat Malaysia yang tinggal di sana tiada masalah kerana mereka memiliki kediaman, cuma mereka dinasihatkan supaya jangan menghampiri kawasan berisiko dan sensitif termasuk pangkalan tentera,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau sekali lagi menasihati rakyat Malaysia supaya menangguhkan perjalanan ke negara Timur Tengah termasuk yang berhasrat untuk mengerjakan umrah atau ziarah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








