Pentadbiran Rumah Putih didakwa desak Vatican sokong dasar ketenteraan AS
WASHINGTON – Pentadbiran Rumah Putih didakwa memanggil diplomat tertinggi Vatican bagi menuntut supaya Pope Leo XIV menyokong dasar ketenteraan Amerika Syarikat (AS).
The Daily Beast yang memetik laporan Free Press berkata, seorang pegawai kanan Pentagon telah memanggil Kardinal Christophe Pierre untuk bertemu Januari lalu dan kemudian memberitahunya bahawa AS mempunyai kuasa ketenteraan untuk melakukan “apa sahaja yang diinginkannya.”
Dalam pertemuan itu juga, pegawai tersebut turut didakwa mengatakan bahawa Pope Leo sebagai paus pertama kelahiran Amerika, “sepatutnya menyebelahi mereka.”
Laman itu menulis bahawa “apabila ketegangan meningkat,” seorang pegawai AS “malah merujuk kepada Kepausan Avignon, iaitu pada tahun 1300-an ketika Mahkota Perancis menggunakan kuasa ketenteraan untuk menguasai autoriti gereja.”
Hubungan Pope Leo dengan pentadbiran Trump merosot selepas beliau dipilih pada 8 Mei, menurut wartawan berpangkalan di Rome, Mattia Ferraresi.
Difahamkan, Rumah Putih menjemput Leo untuk menghadiri keraian ulang tahun ke-250 Amerika di Rumah Putih pada musim panas ini, namun beliau menolak.
Baru-baru ini, dalam syarahannya, Pope Leo tidak menyebut nama Trump namun dengan jelas menujukan kritikan kepada pihak di Oval Office berhubung perang dengan Iran.
“Jesus adalah Raja Keamanan, yang menolak peperangan, dan (namanya) tidak boleh digunakan oleh sesiapa untuk membenarkan peperangan.
“Dia tidak mendengar doa mereka yang berperang, sebaliknya menolaknya,” kata Pope Leo 29 Mac lalu.
Bagaimanapun, kritikan Leo terhadap Trump menjadi lebih tegas selepas presiden itu mengeluarkan ancaman yang tidak rasional terhadap Iran dalam satu hantaran di Truth Social pada hari Selasa, dengan menulis, “Satu tamadun akan mati malam ini, tidak akan dapat dikembalikan lagi. Saya tidak mahu perkara itu berlaku, tetapi kemungkinan besar ia akan berlaku.”
Leo yang menyifatkan perang dengan Iran sebagai “tidak adil,” berkata pada petang hari yang sama, “Hari ini, seperti yang kita semua tahu, terdapat ancaman terhadap seluruh rakyat Iran. Ini benar-benar tidak boleh diterima.”
Leo kemudian menegaskan kesan buruk yang sedang ditimbulkan oleh perang Trump, yang menurutnya “tidak menyelesaikan apa-apa.”
“Malah, kita sedang berdepan krisis ekonomi global, krisis tenaga, serta keadaan di Timur Tengah yang sangat tidak stabil, yang hanya mencetuskan lebih banyak kebencian di seluruh dunia,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








