Malaysia lancar TMM 2026 di Vietnam, perkukuh aliran pelancong dua hala
HO CHI MINH CITY – Malaysia secara rasmi memulakan kempen pelancongan Tahun Melawat Malaysia (TMM 2026) di pasaran Vietnam menerusi penganjuran majlis pelepasan khas penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Tan Son Nhat, sebagai langkah awal memperkukuh aliran pelancong antara kedua-dua negara.
Majlis yang dianjurkan oleh Pejabat Tourism Malaysia di Ho Chi Minh City itu menandakan pelancaran sulung TMM 2026 di Vietnam dengan tumpuan memperkenalkan kepelbagaian pengalaman pelancongan Malaysia sepanjang kempen yang akan berlangsung tahun ini.
Pengarah Tourism Malaysia Ho Chi Minh City, Amirah Nadiah Mazlan berkata, Vietnam kekal sebagai antara pasaran sumber utama pelancong ke Malaysia.
“Kami berbesar hati dapat menghantar kumpulan pelancong pertama dari Vietnam bagi tahun ini.
“Malah, kami mengalu-alukan kehadiran lebih ramai pelawat dari negara ini untuk menikmati hospitaliti Malaysia, kekayaan warisan budaya serta pelbagai tarikan unik yang ditawarkan sepanjang kempen TMM 2026,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, sebagai sebahagian daripada kempen itu, Malaysia akan memperkenalkan Kalendar Acara 2026 yang komprehensif merangkumi ratusan acara di seluruh negara.
“Terdapat lebih 300 acara dirancang sepanjang tahun di seluruh negara termasuklah festival kebudayaan, konsert muzik, acara sukan utama dan sambutan bermusim bagi mengetengahkan identiti majmuk, warisan seni dan tradisi perayaan Malaysia,” katanya lagi.
Ketika ini, sebanyak 189 penerbangan mingguan menghubungkan Vietnam dan Malaysia dengan kapasiti kira-kira 34,750 tempat duduk seminggu.

Ia mencerminkan tahap kesalinghubungan udara yang kukuh serta peningkatan permintaan perjalanan antara kedua-dua negara.
Malaysia menawarkan rangkaian produk pelancongan yang merangkumi semua segmen pengembara termasuk percutian mesra keluarga, penerokaan budaya, pengembaraan dan pelancongan berasaskan alam semula jadi.
Antara tarikan utama ialah pulau tropika dan pantai yang memukau, kepelbagaian gastronomi daripada hidangan penjaja hingga sajian bertaraf antarabangsa, serta tarikan keluarga seperti taman hidupan liar, taman tema dan aktiviti eko-pelancongan.
Selain itu, Malaysia turut dikenali sebagai destinasi beli-belah bertaraf dunia dengan gaya hidup bandar yang dinamik serta pasar malam yang meriah di lokasi utama seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang.
Antara acara utama yang dirancang ialah Festival Tahun Baharu Cina TMM 2026, Festival Aidilfitri TMM 2026, Festival Deepavali TMM 2026 dan Festival Krismas TMM 2026, selain perayaan kebudayaan ikonik seperti Pesta Kaamatan di Sabah dan Pesta Gawai di Sarawak.
Kesemua acara itu dijangka menawarkan pengalaman menyeluruh kepada pelawat menerusi perarakan berwarna-warni, pameran kulinari, persembahan tradisional, upacara keagamaan serta penglibatan komuniti setempat.
Menerusi kempen Visit Malaysia 2026, Malaysia menyasarkan 43 juta ketibaan pelawat antarabangsa, selari dengan usaha memperkukuh sektor pelancongan sebagai antara pemacu utama ekonomi negara.
Berteraskan tema ‘Surreal Experiences’, TMM 2026 menjanjikan program sepanjang tahun yang menampilkan festival, pameran budaya, acara komuniti dan pengalaman unik yang mencerminkan keistimewaan serta kepelbagaian Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








