Jalan Raja ditutup enam hari sempena Citrawarna 2026
KUALA LUMPUR – Jalan Raja di hadapan Dataran Merdeka akan ditutup sepenuhnya selama enam hari bermula 21 hingga 27 Julai ini bagi memberi laluan kepada persiapan, penganjuran dan kerja-kerja pembongkaran festival Citrawarna 2026.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam satu kenyataan memaklumkan, penutupan itu melibatkan kawasan sekitar Dataran Merdeka sebagai persediaan menjayakan festival bersempena Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Selain itu, beberapa laluan utama di sekitar pusat bandar turut ditutup sepenuhnya sempena raptai Citrawarna pada 24 Julai, dari pukul 9 malam hingga 2 pagi serta acara kemuncak Citra Perarakan (Colours of Parade) pada 25 Julai, dari pukul 6 petang hingga 11 malam.
Antara laluan yang terlibat ialah dari Bulatan Dato’ Onn ke Jalan Parlimen sehingga Jalan Raja Laut, Jalan Esfahan, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Tun Perak serta susur masuk Jalan Kinabalu ke Jalan Sultan Hishamuddin.
“Orang ramai dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal, mematuhi papan tanda lalu lintas serta menggunakan laluan alternatif sepanjang tempoh penutupan jalan.
“Pengunjung juga digalakkan menggunakan pengangkutan awam bagi memudahkan perjalanan ke Dataran Merdeka,” kata kenyataan tersebut.
Bagi menggalakkan penggunaan perkhidmatan e-hailing, Grab menawarkan baucar diskaun RM3 kepada 1,000 pengguna terawal setiap hari, menjadikan keseluruhan 3,000 baucar bernilai RM9,000 sepanjang penganjuran festival.
Citrawarna 2026 akan berlangsung di Dataran Merdeka dari 24 hingga 26 Julai, menampilkan pelbagai persembahan seni, budaya, warisan dan gastronomi dari seluruh negara sebagai antara acara utama sempena VM2026.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








