
MOTAC senarai hitam, tarik surat sokongan potongan cukai Srikandi Wawasan Enterprise
PUTRAJAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menarik balik surat sokongan potongan cukai serta
menyenaraihitamkan Srikandi Wawasan Enterprise selama tiga tahun selepas didapati melakukan pelanggaran dalam penganjuran Temasya Kesenian dan Kebudayaan Asia Tenggara.
Tindakan drastik itu diambil susulan insiden tular pada 24 Oktober lalu membabitkan 61 pelajar sekolah dari Malaysia yang terkandas selama tiga jam di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Jakarta, Indonesia di bawah pengurusan syarikat berkenaan.
Menurut MOTAC, syarikat itu telah menukar tujuan program seperti yang dinyatakan dalam surat sokongan, iaitu daripada persembahan kebudayaan kepada aktiviti lawatan pelancongan—tanpa sebarang makluman rasmi kepada kementerian.
Selain itu, siasatan mendapati penganjur gagal menyediakan penginapan, pengangkutan, makanan dan jadual perjalanan yang jelas sehingga memaksa Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta campur tangan untuk membantu peserta yang terkandas.
“Penganjur membuat dakwaan mengelirukan apabila mengaitkan penari MOTAC dengan program berkenaan, sedangkan mereka sebenarnya merupakan penari bebas.
“Tindakan itu bukan sahaja mencetuskan salah faham dalam kalangan peserta dan penaja, malah bercanggah dengan prinsip integriti dan ketelusan yang menjadi asas pentadbiran awam.
“Liputan meluas media di Malaysia dan Indonesia juga mengakibatkan MOTAC terpalit secara tidak langsung, sekali gus menjejaskan reputasi kementerian sebagai institusi profesional dan bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tegas MOTAC, surat sokongan berkenaan terbatal sepenuhnya dan tidak boleh digunakan dalam sebarang urusan selepas tarikh kenyataan itu dikeluarkan.
Justeru, MOTAC juga tidak akan bertanggungjawab terhadap implikasi yang timbul daripada penggunaan dokumen terbatal tersebut.
MOTAC menegaskan, pihaknya sentiasa mengalu-alukan kerjasama syarikat dan NGO dalam memperkasa seni, budaya dan warisan negara.
Walau bagaimanapun, tindakan tegas termasuk pembatalan sokongan serta penyenaraihitaman terpaksa diambil demi memelihara integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam semua urusan yang melibatkan insentif kementerian.
“Orang ramai disarankan membuat semakan dengan MOTAC sebelum menyertai atau menaja mana-mana program seumpama itu bagi mengelakkan insiden sama berulang,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








