Kota Bharu disasar jadi Kota Gastronomi Kreatif UNESCO kedua selepas Kuching
KOTA BHARU – Kerajaan Negeri Kelantan bertekad mengangkat Kota Bharu sebagai kota kedua selepas Kuching yang mendapat pengiktirafan Kota Gastronomi Kreatif UNESCO, sekali gus meletakkan negeri ini di peta dunia sebagai destinasi warisan kulinari.
Inisiatif itu akan diketengahkan menerusi penganjuran Festival Cita Rasa Warisan @ Pantai Timur 2025 (FCRW2025) yang berlangsung dari 5 hingga 7 September 2025 di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini.

Jabatan Warisan Negara (JWN) dalam satu kenyataan berkata, antara tarikan istimewa festival itu ialah sesi perkongsian bertajuk ‘Kota Bharu as a Creative City of Gastronomy’.
“Ia akan menjadi platform penting untuk memperkukuh usaha ke arah pencalonan Kota Bharu di bawah rangkaian UNESCO Creative Cities Network (UCCN),” kata kenyataan itu.
Festival selama tiga hari itu dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui JWN dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan.
“Bertemakan ‘Jom Bekwoh’, festival ini bertujuan mempromosi, memartabatkan dan melestarikan makanan warisan negara, khususnya hidangan yang telah diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645].

“Sehingga kini, sebanyak 213 makanan telah diiktiraf termasuk Nasi Kerabu, Budu, Kuih Cek Mek Molek, Kuih Jala Emas dan Kuih Lompat Tikam,” menurut kenyataan tersebut.
Pada festival itu juga, lebih 70 gerai makanan akan menghimpunkan juadah warisan dari 10 daerah di Kelantan, selain disokong oleh pelbagai aktiviti kebudayaan seperti persembahan Mak Yong, Wayang Kulit, Menora, Dikir Barat, Tarian Asyik, Zapin Salor dan pelbagai hiburan tradisional lain.
“Selain itu, festival ini turut mengetengahkan makanan tradisi yang hampir pupus seperti Itik Solor, Nasi 100, Apam Bakar dan Ros Lidah, di samping pertandingan memasak makanan tradisional, gubahan pulut kuning, perah santan, POV fotografi serta aktiviti komuniti ‘fun walk hungga semutar’,” kata kenyataan itu lagi.
Menurut MOTAC, penganjuran festival ini selaras dengan usaha mengukuhkan sektor pelancongan, kebudayaan dan warisan melalui tiga teras utama iaitu pelancongan, budaya dan warisan serta memperkasakan ekonomi komuniti setempat.

“MOTAC komited menjadikan kebudayaan sebagai aset ekonomi dan diplomasi negara melalui pelbagai sokongan seperti Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) dan Geran Sokongan Sektor Pelancongan (GSSP).
“Pendekatan ini adalah sebahagian daripada aspirasi Malaysia MADANI dan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN),” katanya.
Majlis perasmian festival tersebut dijangka akan disempurnakan oleh Sultanah Kelantan, Sultanah Nur Diana Petra Abdullah.
Antara kenamaan yang bakal hadir ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Nor serta Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Shaharuddin Abu Sohot.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








