BERITA SEMASADALAM NEGERI

Tiada kewarganegaraan melalui MM2H – King Sing

KUALA LUMPUR – Kerajaan menegaskan bahawa tiada laluan kewarganegaraan ditawarkan kepada ekspatriat menerusi Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) sebaliknya inisiatif itu kekal sebagai program pas lawatan sosial jangka panjang.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, MM2H menyediakan kemudahan visa berulang-alik yang membolehkan warga asing menetap di Malaysia bagi tempoh tertentu namun tidak pernah melibatkan sebarang permohonan kewarganegaraan.

“Setakat ini, program MM2H tidak pernah menawarkan kewarganegaraan. Ia hanyalah pas lawatan sosial jangka panjang dengan tempoh tinggal antara lima hingga 20 tahun,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut beliau, program MM2H ditawarkan menerusi empat kategori utama iaitu Platinum bagi tempoh 20 tahun, Gold (15 tahun), Silver (lima tahun) serta Zon Ekonomi Khas bagi tempoh 10 tahun.

Beliau menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) yang meminta penjelasan sama ada terdapat peserta MM2H memperoleh kewarganegaraan melalui program berkenaan, selain jumlah kediaman yang dibeli oleh warga asing sehingga tahun 2025.

Mengulas lanjut, King Sing yang juga Ahli Parlimen Bintulu berkata, setakat 31 Disember tahun lalu, seramai 744 peserta MM2H direkodkan telah membeli kediaman di negara ini, manakala 2,637 peserta masih dalam proses pembelian.

Katanya, warga China merekodkan pembelian tertinggi dengan 304 unit kediaman, diikuti Taiwan (91), Singapura (63), Amerika Syarikat (41), United Kingdom (40) dan Hong Kong (34).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button