BERITA SEMASA

Isu majlis GTM: Armada BERSATU gesa PM ambil tindakan terhadap Menteri MOTAC

KUALA LUMPUR – Armada BERSATU menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil tindakan terhadap Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing susulan kontroversi hidangan arak pada Majlis Global Travel Meet (GTM) 2025 yang berlangsung pada 1 hingga 3 Oktober lalu.

Ketua Penerangan Armada BERSATU, Harris Idaham Rashid mendakwa, Tourism Malaysia (TM) adalah penganjur tunggal majlis berkenaan termasuk Majlis Gala Night Dinner & Launch Ceremony di Grand Ballroom Sunway Resort Hotel dan bukannya melibatkan pihak lain seperti yang didakwa oleh kementerian.

“Penjelasan Menteri MOTAC bahawa agensi tidak menyediakan makanan dan minuman serta menyerahkan sepenuhnya kepada pemain industri, dianggap merendahkan tahap kecerdikan rakyat.

“Itinerari GTM 2025 jelas menunjukkan majlis tersebut dijadualkan pada ‘DAY 1’. Pihak kementerian tidak seharusnya cuba menolak tanggungjawab penganjuran kepada pihak lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Armada BERSATU turut menyorot beberapa isu lain yang melibatkan menteri dan kementerian tersebut.

Antaranya ialah video promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 yang menimbulkan kontroversi, penurunan pangkat bekas Ketua Pengarah TM, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar; kekecohan di KLIA pada 29 Jun 2023 yang melibatkan pelancong China dan kerjasama TM dengan Starbucks Malaysia bagi menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Harris menegaskan, jika insiden terkini berhubung hidangan arak dalam majlis rasmi tidak diambil tindakan, ia akan menguatkan persepsi bahawa golongan atasan kebal daripada tindakan undang-undang.

Beliau menekankan, kerajaan perlu membuktikan bahawa prinsip akauntabiliti wujud dalam pentadbiran.

“Armada menggesa kepimpinan MOTAC termasuk Menteri, Timbalan Menteri, Ketua Setiausaha dan Ketua Pengarah TM untuk mengaku cuai serta memohon maaf kepada rakyat dan menghentikan justifikasi yang semakin menjadi bahan jenaka di kalangan netizen.

“Hendaklah setiap tindakan dipertanggungjawabkan. Tiada sesiapa yang berada di atas undang-undang,” tegas Harris.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button