BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

Perdagangan Malaysia-AS meningkat 30 peratus bagi 2024

KUALA LUMPUR – Meskipun berdepan ketidaktentuan perdagangan global, Malaysia terus mengekalkan kedudukan sebagai antara rakan dagangan utama Amerika Syarikat (AS) apabila jumlah dagangan dua hala melonjak 30 peratus kepada RM325.2 bilion pada 2024.

Dalam satu kenyataan, Ketua Perangkawan, Datuk Sri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pencapaian tersebut didorong terutamanya oleh prestasi eksport yang memberangsangkan, sekali gus mencerminkan peningkatan permintaan terhadap produk keluaran Malaysia di pasaran AS.

Beliau berkata, eksport Malaysia ke AS meningkat 23.3 peratus kepada RM198.9 bilion, manakala import daripada negara itu turut mencatat pertumbuhan ketara sebanyak 42.1 peratus kepada RM126.3 bilion.

“Sektor barangan elektrik dan elektronik (E&E) kekal sebagai penyumbang terbesar perdagangan, merangkumi 60.4 peratus daripada keseluruhan nilai eksport Malaysia pada 2024.

“Antara komponen utama eksport E&E termasuk semikonduktor yang menyumbang 46.8 peratus, diikuti perkakas telekomunikasi serta peralatan rakaman dan pengeluaran semula sebanyak 19.4 peratus, jentera, perkakas dan peralatan elektrik serta alat ganti (17.0 peratus), dan mesin pejabat serta peralatan pemprosesan data automatik (16.9 peratus),” katanya.

Dalam kenyataan sama, Mohd Uzir berkata, eksport barangan optik dan saintifik Malaysia ke AS turut mencatat prestasi tertinggi dengan nilai RM12.9 bilion, meningkat 14.3 peratus pada 2024, sekali gus menjadikannya pasaran eksport terbesar bagi kategori itu dengan sumbangan 21.8 peratus.

Selain itu, eksport produk jentera, kelengkapan dan peralatan menunjukkan pertumbuhan kukuh apabila menyumbang 12.7 peratus daripada jumlah eksport kategori berkenaan, meningkat 33.6 peratus kepada RM8.8 bilion berbanding RM6.6 bilion pada tahun sebelumnya.

Produk getah Malaysia turut merekodkan peningkatan yang konsisten dalam pasaran AS dengan nilai eksport mencecah RM7.4 bilion pada 2024, manakala produk perkayuan mengekalkan prestasi stabil apabila nilai eksport meningkat kepada RM6.0 bilion.

Keseluruhan data tersebut dibentangkan menerusi Malaysia Trade Statistic Review (MTSR) 2025, yang memperincikan prestasi eksport Malaysia ke AS bagi tahun 2024 merangkumi lima kategori utama.

Kategori itu termasuk barangan elektrik dan elektronik, barangan optik dan saintifik, jentera, kelengkapan dan peralatan, produk getah serta produk perkayuan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button