Kontinjen e-sukan Thailand tarik diri selepas ‘kantoi’ menipu
BANGKOK – Kontinjen e-sukan Thailand menarik diri daripada Sukan SEA di sini selepas salah seorang pemain wanitanya didapati melakukan kesalahan menipu ketika beraksi dalam perlawanan Arena of Valor.
Persekutuan E-Sukan Thailand (TESF) mengesahkan pemain terbabit, Warasin Naphat, dikenakan hukuman pengusiran sepenuhnya daripada semua pertandingan e-sukan di temasya itu susulan siasatan yang menemukan bukti kukuh penggunaan perisian pihak ketiga atau pengubahsuaian perkakasan yang tidak dibenarkan.
Kesalahan tersebut didakwa berlaku semasa Perlawanan 1, semalam dan dimaklumkan secara rasmi menerusi surat daripada delegasi Sukan SEA kepada TESF.
Susulan hukuman individu itu, TESF dalam satu hantaran di Facebook semalam memaklumkan pihaknya menerima keputusan penganjur dan mengumumkan penarikan diri keseluruhan pasukan e-sukan Thailand daripada temasya berkenaan.

Media tempatan turut melaporkan Warasin dirakam membuat isyarat jari tengah ketika siaran langsung acara berkenaan di Bangkok, sekali gus menimbulkan kontroversi tambahan, lapor media tempatan.
Presiden TESF, Santi Lothong, dalam kenyataan rakaman menyuarakan kekesalan atas insiden itu serta memohon maaf kepada semua pihak.
“Kami memohon maaf atas kesilapan yang dilakukan pasukan kami. Saya dan seluruh pasukan benar-benar kesal atas apa yang berlaku.
“Kami mencintai sukan ini dan tidak akan membenarkan sesiapa pun mencemarkan imej e-sukan, tidak kira siapa yang melakukannya,” katanya.
Untuk rekod, e-sukan mula dipertandingkan di Sukan SEA pada 2019, dengan edisi kali ini menampilkan empat kategori iaitu FC Online, Mobile Legends: Bang Bang, Free Fire dan Arena of Valor.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








