Malaysia, Thailand perkukuh kerjasama pertahanan demi keamanan serantau
SUBANG – Malaysia dan Thailand terus memperkukuh komitmen bersama dalam mempererat hubungan pertahanan serta kerjasama strategik bagi memastikan keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, komitmen itu dizahirkan menerusi pertemuan dua hala beliau bersama Menteri Pertahanan Thailand, Leftenan Jeneral Adul Boonthumjaroen di
Pangkalan Udara Subang hari ini.
Menurut beliau, pertemuan tersebut mencerminkan iltizam berterusan kedua-dua negara untuk memperkukuh hubungan pertahanan yang telah lama terjalin.
“Malaysia dan Thailand turut menegaskan komitmen bersama untuk terus mempertingkatkan kerjasama pertahanan demi memastikan keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Dalam pertemuan itu katanya, Adul turut berkongsi perkembangan semasa mengenai situasi di Selatan Thailand serta memberi jaminan bahawa negaranya kekal komited untuk terus bekerjasama rapat dengan Malaysia dalam usaha mencapai keamanan yang berkekalan demi kepentingan bersama.
Mohamed Khaled berkata, pihaknya menyambut baik komitmen tersebut dan menegaskan Malaysia akan terus memainkan peranan secara konstruktif dalam memperkukuh kerjasama pertahanan dengan Thailand.
Beliau yakin hubungan erat antara kedua-dua negara akan terus menjadi asas penting dalam mendepani cabaran strategik yang semakin kompleks, sekali gus menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran rantau Asia Tenggara.
Turut hadir pada pertemuan itu ialah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan, Datuk Mohd Yani Daud; Ketua Pengarah Malaysian Defence Intelligence Organisation (MDIO), Leftenan Jeneral Datuk Fazal Abdul Rahman; Duta Besar Thailand ke Malaysia, Lada Phumas serta Timbalan Ketua Staf Bersama Angkatan Tentera Diraja Thailand, Jeneral Nuttapong Praokaev.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















