UEC: Saya tidak peduli siapa, saya harus pertahan Perlembagaan – PM
LANGKAWI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak, termasuk DAP, yang mahu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diiktiraf kerana tuntutan itu didakwa hanya memihak kepada satu kaum serta satu bahasa.
Menurut beliau, pendirian itu selari dengan prinsip kerajaan dalam mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, khususnya kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
“Saya dah jelaskan, saya tak peduli siapa dia, parti mana atau apa pengaruhnya. Kalau saya mahu didukung sebagai Perdana Menteri, saya mesti pertahankan prinsip perlembagaan.
“Perbezaannya ialah tuntutan itu menjurus kepada satu kaum dan satu bahasa. Itu saya tidak setuju sama sekali. Bawa dahulu mesej mempertahankan martabat bahasa kebangsaan, kemudian rangkul bersama keperluan penguasaan bahasa lain,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nur Al-Hidayah, Kampung Kelibang, di sini, hari ini.
Anwar berkata, kerajaan tidak menolak kepentingan memantapkan penguasaan bahasa lain termasuk Inggeris, Mandarin, Tamil dan Arab, namun asasnya ialah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang dikuasai setiap rakyat Malaysia.
“Ini Malaysia, mesti ingat bahasa Melayu bahasa rasmi. Bahasa Melayu harus diangkat sebagai bahasa ilmu.
“Kalau jelas, hendak bangkitkan keperluan peningkatan penggunaan bahasa Inggeris, saya setuju. Tetapi untuk teknologi baharu dan ilmu, penguasaan bahasa Melayu mesti dimantapkan oleh semua rakyat, semua aliran. Saya tak kira Melayu, Cina atau India,” ujarnya.
Beliau menegaskan perbincangan mengenai bahasa perlu berlandaskan konteks keterangkuman agar tidak mengabaikan kedudukan bahasa utama negara.
“Perlu ke tingkatkan penguasaan bahasa Inggeris? Ya. Perlu ke tambah penggunaan bahasa Cina di beberapa kursus universiti? Tiada masalah, termasuk berkaitan UEC.
“Tetapi apabila naratif itu menjurus kepada satu bahasa, satu kaum dan mengetepikan bahasa utama negara, itu yang menjadi masalah.
“Jadi saya ingatkan mana-mana pihak, kaum atau parti, kemukakanlah cadangan, tidak ada masalah. Tetapi sebagai rakyat yang patuh kepada perlembagaan, keutamaan mesti diberi kepada penguasaan bahasa Melayu,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








