BERITA SEMASALUAR NEGARA

Pesawat pengangkut AN-22 Rusia terhempas di Ivanovo, tujuh kru dikhuatiri maut

MOSCOW – Sebuah pesawat pengangkut tentera Rusia jenis Antonov An-22, pesawat turboprop terbesar di dunia, terhempas semalam di wilayah Ivanovo, dengan kesemua tujuh kru yang berada di dalamnya dikhuatiri maut, lapor Daily Mirror.

Pesawat yang dioperasikan Kementerian Pertahanan Rusia itu dipercayai sedang melakukan penerbangan ujian selepas kerja pembaikan, sebelum ia terhempas di Takungan Uvodskoye, daerah Furmanovsky.

Pasukan penyelamat menemukan serpihan pesawat terapung di permukaan air dan penilaian awal mengesahkan tiada mangsa terselamat.

“Menurut maklumat awal, sebuah pesawat AN-22 terhempas di wilayah Ivanovo. Terdapat tujuh orang di dalam pesawat,” kata sumber perkhidmatan kecemasan kepada agensi berita TASS.

Kementerian Pertahanan Rusia dalam kenyataan memaklumkan bahawa pesawat itu terhempas di kawasan tidak berpenghuni ketika menjalani penerbangan ujian.

Antonov An-22 pertama kali diterbangkan pada 27 Februari 1965, sebelum membuat penampilan sulung kepada umum di Pameran Udara Paris pada tahun sama, di mana ia mencetuskan sensasi antarabangsa.

Pesawat ikonik itu digunakan secara meluas oleh Tentera Udara Soviet dan kemudian Rusia bagi operasi udara ketenteraan dan kemanusiaan.

Ia juga dikenali sebagai pesawat turboprop terbesar dan pesawat pengangkut berbadan lebar pertama di dunia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button