Tidak sempat ke Jepun, rakyat Malaysia meninggal dunia ketika transit di Bangkok
KUALA LUMPUR – Hasrat seorang rakyat Malaysia untuk menikmati percutian di Hokkaido, Jepun tidak kesampaian apabila beliau meninggal dunia ketika transit di Bangkok, Thailand kelmarin.
Allahyarham Hamizi Mohd Noor, 52, difahamkan dalam perjalanan menyertai trip percutian anjuran syarikat sebelum kejadian berlaku ketika penerbangan transit di Bangkok.
Video kejadian yang tular di media sosial memperlihatkan kru kabin berusaha memberikan bantuan kepada Allahyarham.
Video berkenaan turut dimuat naik pengurusan jenazah Islam, Mr Wan Can Official menerusi Facebook sebelum mendapat maklum balas daripada seorang rakan Allahyarham.
“Jenazah ini kawan baik saya, nak turun flight (pesawat) transit ke Hokkaido. Alhamdulillah, sekarang baru selesai urusan bawa balik jenazah dari Bangkok ke Kulim, Kedah.
“Pukul 7 malam dari Thailand bergerak balik naik van. Insya-Allah, dijangka sampai di sempadan Danok pukul 6 pagi hari ini,” katanya.
Dalam hantaran seterusnya, Mr Wan Can Official memaklumkan pihak Van Jenazah Wakaf Kulim dan UKVJ Kedah membantu membawa pulang jenazah Allahyarham ke tanah air.
Menurutnya, jenazah dalam perjalanan menuju ke sempadan Bukit Kayu Hitam selepas dituntut dari Hospital Samitivej Suan Luang, Bangkok.
“Jenazah dijangka tiba di sempadan Bukit Kayu Hitam pada waktu subuh.
“Perancangan telah disusun melibatkan urusan dokumentasi di sempadan, proses menuntut jenazah di sempadan, pengurusan mandi, kafan dan solat serta penghantaran jenazah ke Kulim,” menurut hantaran itu malam tadi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








