BERITA SEMASA

Calon kerusi Pelangai belum diputuskan – Ahmad Zahid

SHAH ALAM – Barisan Nasional masih belum memutuskan siapa calon yang akan mengisi kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun dalam nahas pesawat Khamis lalu.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu hanya akan diperincikan selepas UMNO Bahagian Bentong mengemukakan nama calon kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri.

Katanya, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berikutan kekosongan itu.

“Kita telah meneliti bukan sahaja keputusan dalam pilihan raya di Dun Pelangai itu tapi kita merasakan pembangunan di Dun Pelangai harus diberikan kesinambungan dan diteruskan.

“Soal siapa yang akan mewakili UMNO dan BN itu kita akan perincikan apabila bahagian (UMNO Bentong) mengemukakan nama mereka kepada UMNO Pahang dan keputusan saya akan buat,” kata Timbalan Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penutupan Madani Ride PDRM & ISBC Sempena Hari Peringatan Hari Polis Ke-216 dan Bulan Kemerdekaan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali.

DUN Pelangai kosong susulan kematian Johari, 53, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang.

Allahyarham merupakan salah seorang daripada 8 individu yang berada di dalam pesawat Beechcraft 390 (Premier 1) yang terhempas di Persiaran Elmina, di sini, Khamis lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button