AUTOMOTIF & TEKNOLOGI

Malaysia masih kaji penerokaan tenaga nuklear – Menteri

KAJANG – Malaysia masih berada pada peringkat awal kajian penerokaan tenaga nuklear dan kerajaan belum membuat sebarang keputusan mengenai pembinaannya, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.

Beliau berkata, demikian selepas mengadakan lawatan media bersama ke Agensi Nuklear Malaysia hari ini, yang bertujuan memberi pendedahan kepada umum mengenai fungsi, kepakaran dan operasi agensi tersebut.

“Jawatankuasa bersama berkaitan tenaga nuklear yang dipengerusikan Kementerian Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) masih meneliti semua aspek dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) diberi tiga tanggungjawab utama.

“MOSTI terlibat dalam tiga bidang iaitu penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembangunan bakat dan aspek regulatori.

“Untuk regulatori, ia di bawah Jabatan Tenaga Atom, manakala R&D serta pembangunan bakat dipacu Agensi Nuklear Malaysia,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, sebarang keputusan dasar berkaitan tenaga nuklear hanya akan dibuat selepas tahun 2030 seperti diumumkan Timbalan Perdana Menteri sebelum ini.

Menjawab kebimbangan awam terhadap keselamatan, Lih Kang berkata, bidang teknologi nuklear di Malaysia berada di bawah kawal selia ketat serta mematuhi piawaian Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

“Tidak perlu timbul kebimbangan. Kita baru meminda Akta Tenaga Atom dan memasukkan peruntukan untuk meneroka kemungkinan penjanaan tenaga nuklear.

“Malaysia ada kepakaran, termasuk reaktor penyelidikan yang telah beroperasi sejak 1982,” katanya lagi.

Tambah beliau, IAEA turut menghantar inspektor secara berkala ke negara ini bagi tujuan pemeriksaan serta membangunkan kepakaran tenaga tempatan.

Mengulas dakwaan bahawa kerajaan sudah mengenal pasti beberapa tapak bagi pembinaan reaktor nuklear, Lih Kang menafikan hal tersebut.

“Kita belum sampai tahap itu. Kita pun belum buat keputusan sama ada mahu meneruskan atau tidak.

“Jadi belum ada siting, belum ada tapak, belum ada senarai pendek.

“Soalan teknikal berhubung pemilihan tapak, lebih sesuai diajukan kepada PETRA selaku agensi peneraju aspek dasar,” katanya lagi.

Lih Kang turut mengakui tahap kesedaran masyarakat terhadap kewujudan Agensi Nuklear Malaysia masih rendah walaupun negara telah mempunyai kepakaran teknikal lama dalam bidang tersebut.

“Ramai tak sedar kita ada agensi nuklear dan reaktor penyelidikan.

“Program hari ini bertujuan memberi maklumat kepada masyarakat melalui liputan media supaya mereka tahu negara ada kepakaran,” katanya lagi.

Lih Kang turut berkata, kerajaan belum memutuskan penggunaan teknologi nuklear itu tetapi perlu melihat semua kemungkinan berikutan perubahan semasa.

“Sumber gas asli kita semakin berkurangan, permintaan tenaga pula meningkat.

“Selain itu, permintaan global terhadap tenaga bersih juga semakin tinggi. Sebab itu kita buat kajian,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button