AKPS gagalkan cubaan seludup 3,000 liter diesel di Bukit Kayu Hitam
BUKIT KAYU HITAM – Taktik licik seorang pemandu treler yang cuba menyeludup 3,000 liter minyak diesel tumpas selepas dikesan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), di sini semalam.
Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasarudin M. Nasir berkata, penahanan dilakukan hasil kerjasama dengan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada pukul 2.15 petang di Blok E, ICQS Bukit Kayu Hitam.
“Cubaan penyeludupan itu menggunakan lori jenis pole treler yang diubah suai pada bahagian tangki bawah bagi mewujudkan ruang khas tersembunyi untuk menempatkan minyak diesel bertujuan mengaburi pihak berkuasa ketika melalui pintu sempadan,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Menurut beliau, hasil imbasan Unit Mesin Pengimbas Kargo (UMP Kargo) mengesan imej mencurigakan di bahagian bawah treler sebelum pemeriksaan lanjut menemui ruang tersembunyi berisi cecair disyaki minyak diesel.
“Anggaran jumlah minyak diesel yang disembunyikan adalah 3,000 liter dengan nilai dianggarkan RM8,670,” katanya.
Tambah Mohd Nasarudin, kes tersebut telah diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan JKDM Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut, manakala minyak diesel dan treler berkenaan disita sebagai bahan bukti.
Pemandu treler terbabit turut diikat jamin sebanyak RM5,000 bagi membantu siasatan.
“Minyak diesel merupakan barang kawalan di bawah Perintah Kawalan Bekalan 1974, dan sebarang aktiviti mengangkut, menyimpan atau memiliki tanpa kebenaran bertulis daripada Pengawal adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 133(1)(e) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 21(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122),” jelasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








