Aaron-Wooi Yik, Pearly-Thinaah mara ke final Terbuka Artik
KUALA LUMPUR – Malaysia berpeluang mencipta sejarah berganda di kejohanan badminton Terbuka Artik selepas dua wakil negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan gandingan wanita Pearly Tan-M. Thinaah, mara ke perlawanan akhir masing-masing di Vantaa, Finland semalam.
Dalam aksi separuh akhir beregu lelaki, Aaron-Wooi Yik menampilkan permainan mantap apabila menundukkan pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Kittinupong Kedren yang menghuni ranking ke-13 dunia, dengan kemenangan straight set 21-15, 21-14 hanya dalam masa 36 minit.
Pasangan nombor dua dunia itu mengekalkan rekod tanpa kalah 4-0 ke atas lawan dari Thailand berkenaan, sekali gus mengesahkan tiket ke final untuk memburu kejuaraan keempat musim ini.
Bagaimanapun, hasrat untuk menyaksikan pertembungan sesama Malaysia tidak kesampaian selepas pasangan muda Choong Hon Jian-Haikal Nazri tewas 16-21, 23-25 di tangan gandingan England, Ben Lane-Sean Vendy.
Aaron-Wooi Yik dijangka menentang Lane-Vendy dalam aksi penentuan kejuaraan esok, dengan kelebihan rekod kemenangan 6-3 berpihak kepada beregu negara.
Setakat ini, Aaron-Wooi Yik sudah merangkul tiga kejuaraan musim ini iaitu Kejohanan Badminton Asia, Terbuka Thailand dan Terbuka Singapura.
Kemenangan di Vantaa bakal menjadi kejuaraan kedua mereka di benua Eropah selepas kejayaan di Terbuka Denmark 2023, selain mengekalkan kejuaraan beregu lelaki dalam genggaman Malaysia selepas kejayaan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani tahun lalu.
Sementara itu, Pearly-Thinaah turut mencipta kejutan apabila bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menumpaskan pasangan Taiwan, Hsieh Pei Shan-Hung En Tzu (ranking ke-11 dunia) 22-24, 21-8, 21-17.
Pasangan nombor tiga dunia itu akan berdepan cabaran sengit di final menentang beregu Jepun, Rin Iwanaga-Kei Nakanishi (ranking ke-6 dunia) dalam usaha memburu gelaran pertama mereka di Eropah musim ini.
Kejayaan kedua-dua pasangan itu memberi sinar baharu kepada skuad badminton negara yang kini semakin menunjukkan kematangan dan konsistensi di pentas antarabangsa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








